Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Tuesday, December 15, 2015

Hamba Peperiksaan

Alhamdulillah, fasa peperiksaan SPM 2015 telah aku lalui dengan sempurna.

Pada pagi 25 November 2015, aku dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa salah seorang pelajar Tingkatan Lima dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur menggantungkan dirinya kerana tidak dapat menjawab sebahagian besar soalan kertas Matematik Tambahan (Add Math) sehari sebelumnya.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, pada pandangan aku, soalan subjek Sains Elektif (Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan) bagi para pelajar yang mengambil jurusan Sains Tulen tahun ini sememangnya sukar. Sebahagian besar pelajar dari seluruh negara akan menjadikan istilah KBAT (High Order Thinking Skills) sebagai faktor utama kegagalan menjawab soalan yang dikemukakan.

KBAT ini sememangnya bagus kerana boleh menggerakkan minda pelajar agar tidak terlampau membuta tuli semata-mata dengan menghafal buku teks untuk meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa bukan semua pelajar memiliki keupayaan untuk memandang jauh segenap perkara dan menghubungkaitkannya dengan pemasalahan semasa.

Sebagai seorang yang waras, meletakkan kesalahan itu pada KBAT juga tidak tepat kerana keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun lepas walaupun telah diselitkan dengan sebegitu banyak soalan KBAT. Secara relatifnya, pelajar PT3 sememangnya jauh lebih bersedia untuk menghadapi SPM berbanding generasi kami.

Kami merupakan generasi akhir PMR, sejenis peperiksaan yang mengizinkan anda untuk belajar 'last-minute' tetapi menjanjikan kecemerlangan yang luar biasa. Kami hanya perlu memiliki daya akal yang mantap untuk menghafal, mengira dan sedikit kemahiran mencongak, lalu kami berjaya meraih semua 'A'. Sungguhpun begitu, dalam setiap peperiksaan yang akan dihadapi, aspek tawakal perlu senantiasa dijunjung tinggi. Di dalam dewan peperiksaan, perkara yang mustahil untuk berlaku pun boleh berlaku.

Hanya kerana sehelai kertas Add Math, bunuh diri menjadi pilihannya.
Yang akan melakarkan potret masa hadapan penuh kegemilangan ialah dirinya, bukan kertas Add Math.
Itu hanya sehelai kertas biasa. Jangan terlampau obses dengan gred peperiksaan.

Tuesday, June 2, 2015

Aliran Sains Tulen atau Aliran Sastera?

Ramai pelajar yang tertanya-tanya, apakah aliran yang sesuai dengan diri saya? Jawapannya terlalu rumit untuk dirungkaikan kerana segala-galanya berbalik pada diri sendiri. Aku berpendapat kalian perlu menetapkan matlamat untuk berjaya mulai saat ini. Oleh itu, aku akan cuba menerangkan serba sedikit berkenaan subjek yang akan kalian ambil ketika memilih aliran tertentu. 

Situasi ini hanya berlaku di sekolah aku dan barangkali berbeza-beza mengikut daerah dan dasar pentadbiran sesebuah sekolah.

Seperti biasa, kalian perlu mengambil lima buah subjek teras, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Matematik dan Sejarah. Aku wajibkan kalian untuk mendapat pangkat 'A' dalam kelima-lima subjek ini kerana perolehan markahnya terlalu mudah. Kalian hanya perlu beguru dengan individu yang pakar dalam teknik menjawab soalan. Markah akan senang-senang lupus begitu sahaja apabila kalian mengetepikan kehendak skema jawapan. Inilah yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang SPM sentiasa mendapat keputusan silang; sombong untuk memahami teknik menjawab soalan walaupun dikurniakan akal yang bijak.

Aliran Sains Tulen menawarkan empat subjek elektif Sains, iaitu Biologi, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan. Umumnya, English for Science and Technology (EST) merupakan subjek elektif. Penambahan subjek berlaku bagi para pelajar yang mengambil aliran Sains Tulen Agama. Subjek Pendidikan Islam digugurkan serta digantikan dengan subjek Pendidikan Al-Quran & As-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiyyah. Hal ini biasanya khusus kepada para pelajar yang berjaya memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Integrasi Sains dan sebagainya.

Aliran Sastera terbahagi kepada dua, iaitu kelas Akaun dan kelas Perdagangan (sekadar gelaran yang aku beri kerana situasi ini berlaku di sekolah aku.). Bagi pelajar yang memilih untuk berada di kelas Akaun, mereka perlu mengambil subjek Ekonomi Asas, Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan. Kelas Perdagangan merupakan dua kelas terakhir yang terdapat di sekolah aku. Di samping mengambil subjek Perdagangan, mereka juga ditawarkan untuk mengambil subjek Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual. 

Untuk pengetahuan kalian, aku telah memilih Aliran Sains Tulen. Hakikatnya, subjek Sains Tulen telah banyak membantu dalam mendekatkan diri aku kepada Allah SWT. Kenapa begitu?

Apabila aku mulai rapat dengan subjek Biologi, aku telah belajar banyak perkara. Sistem peredaran darah, nutrisi, koordinasi dan respons telah memberikan banyak gambaran kepada aku tentang proses kejadian manusia yang kompleks. Hal ini telah menyedarkan betapa kerdilnya aku dan hanya Allah yang bersifat Al-Khaliq (Maha Pencipta). Sekalipun terdapat usaha pengklonan dilakukan oleh bijak pandai manusia, namun, kesempurnaan ciptaan Allah tetap mengatasi segala-galanya. Subjek Biologi turut membuka mata kita mengenai keperluan mengambil nutrisi yang seimbang untuk tumbesaran tubuh badan. Kalian juga akan belajar mengenai berbagai-bagai jenis penyakit, peranan sistem pertahanan tubuh badan, kaedah mencegah penyakit dan sebagainya. Ingat, kita belajar bukan setakat untuk lulus dalam peperiksaan sahaja, namun untuk diamalkan ketika diri sudah dewasa atau lanjut usia kelak. 

Apabila aku mulai rapat dengan  subjek Fizik, keimanan aku kepada Allah SWT kian mantap. Aku bertambah sedar bahawa segala pergerakan alam ini berlaku dengan kebijaksanaanNya. Kalian akan mula memahami tentang hukum-hukum asas dalam bidang Fizik sebelum bertemu dengan yang lebih sukar ketika berada di alam universiti. Asasnya, Fizik lebih mudah untuk mencapai pangkat 'A' kerana kalian hanya perlu faham konsep tanpa perlu sebarang hafalan yang banyak seperti subjek Sejarah. Dengan mempelajari Fizik, kalian juga berupaya untuk mentafsirkan sesuatu kejadian dengan lebih berilmu mengikut panduan yang ditinggalkan oleh saintis terdahulu.

Aku tidak berani memberikan sebarang komen mengenai Kimia dan Matematik Tambahan kerana kedua-duanya bukanlah menjadi subjek kesukaan aku. Aku tidak kata sukar, namun, segala-galanya terpulang pada minat diri. Sungguhpun begitu, kedua-dua subjek berkenaan amat penting untuk membolehkan seseorang itu meneruskan pengajiannya di universiti dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya.

Nampak? Aliran Sains Tulen sangat seronok jika kalian belajar untuk amal dan bukan sekadar lulus peperiksaan. Sebagai seorang Mukmin sejati, kita perlu sedar bahawa hampir sebahagian besar ilmu yang terdapat pada masa ini merupakan titik peluh kegigihan cendekiawan Islam yang terdahulu. Mereka bukan sahaja mendalami ilmu Fikah, Hadis dan Tasawuf, malahan turut berusaha untuk berjihad dalam memperkembang bidang ilmu sains dan teknologi. Contoh paling dekat ialah Ibnu Sina. Kitab agung karangan beliau, iaitu Al-Qanun Fit Tib telah dijadikan sebagai kajian tesis di universiti Barat selama hampir 600 tahun lamanya. Hasil kajian beliau telah membolehkan alat-alat perubatan seperti X-Ray dan ultrasound dibangunkan oleh saintis alaf baru ini. Orang Eropah berjaya memanfaatkan ketamadunan cemerlang umat Islam dalam bidang sains dan teknologi untuk membawa diri mereka keluar daripada Zaman Kegelapan. Ingat, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas setiap Muslim. Untuk memastikan pengaruh Islam terus bertahan di atas muka bumi, kita perlu menuntut lebih banyak ilmu sains agar kita tidak ketinggalan serta tidak mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.

Setiap individu itu memiliki kelebihan yang berbeza-beza. Perbezaan itu perlu diraikan mengikut kaedahnya yang tersendiri. Misalnya, untuk membangunkan sebuah kondominium mewah, lakaran sempurna oleh seorang arkitek berkelulusan tinggi dan bertauliah amat penting. Proses merealisasikan lakaran itu akan dilaksanakan secara proaktif mengikut peringkat oleh jurutera pakar. Walau bagaimanapun, kehadiran arkitek dan jurutera sahaja tidak mencukupi untuk melengkapkan keindahan panorama di sekitar kawasan kondominium itu. Pada ketika ini, kebolehan seseorang individu yang mahir dalam bidang kesenian amat diperlukan. Oleh itu, jangan sesekali kita memandang rendah terhadap pelajar yang mengambil subjek Pendidikan Seni Visual dan berada di kelas paling belakang. Mereka tetap memiliki keupayaan istimewa yang tidak dimiliki oleh para pelajar cerdik pandai kelas hadapan; iaitu kemahiran berfikir secara kreatif. Kebanyakan pelajar kelas hadapan hanya bijak bermain angka dan mampu untuk berfikir secara analitikal ketika kritikal namun, tidak mampu untuk menzahirkan kesenian secara total (kononnya lapangan sastera tidak memiliki nilai komersial dari segi kerjaya). Kita perlu sedar bahawa kehidupan seseorang manusia itu amat sukar untuk dipisahkan daripada elemen-elemen seni. 

Satu perkara yang perlu kalian ambil maklum - sebahagian besar individu yang menyandang portfolio penting di dalam sektor korporat (kerajaan, swasta ataupun GLC) bukanlah lahir dari kelas jurusan Sains Tulen. Jumlah pendapatan yang diperoleh jauh lebih besar dan tinggi daripada individu yang bergelar arkitek, jurutera, juruteknik dan pegawai perkomputeran di syarikat yang sama. Oleh itu, kalian tidak perlu berasa terlampau takjub ketika berada di kelas Sains lalu memandang enteng kepada pelajar kelas Sastera.

Aku berharap agar kalian mampu untuk mengorak langkah yang lebih jauh dalam lapangan ilmu. Usah berasa terlalu merendah diri sehingga kalian merasakan bahawa untuk berjaya; hanya perlu melihat pada bilangan 'A' semata-mata. Ingat, sistem meritokrasi tidak mampu memberikan jaminan yang cerah untuk masa hadapan kerana bukan semua manusia diciptakan serupa akalnya. Sebaliknya, kalian yang perlu bergerak ke hadapan dan memanfaatkan serta menggilap segenap potensi yang tersembunyi di dalam diri tanpa terikat dengan pembelajaran di kelas semata-mata. Aku tidak mengatakan bahawa pembelajaran di kelas itu salah, namun bukan semua pelajar mampu untuk menyesuaikan dirinya dengan iklim pembelajaran sebegitu rupa. Sesetengah pelajar lebih sukakan pengamalan teori berbanding sekadar menghafalnya. Sesetengah pelajar mungkin lebih mudah untuk mengingat setiap fakta itu dengan mengaplikasikan teori. Sesetengah pelajar mungkin lebih senang untuk belajar dengan melihat alam lalu membandingkannya dengan sesuatu topik yang terdapat di dalam buku teks.

Kesimpulannya, manusia tidak serupa dari segi kelebihan yang dikurniakan Allah tetapi kita memiliki matlamat yang serupa, iaitu menjadi khalifah di muka bumi. Kalian perlu sedar akan definisi kejayaan yang hakiki. Sebenarnya, kejayaan itu diukur sejauh mana kita mampu memanfaatkan segala ilmu yang telah dipelajari untuk penyebaran dakwah dan pembangunan ummah.

Bagi golongan yang terlampau menyanjung tinggi pangkat 'A' serta tidak menyokong atau mempercayai kewujudan individu yang 'street smart', kalian boleh mengabaikan segala intipati yang terdapat dalam bicara kali ini. 

Semoga bermanfaat. 

Saturday, April 18, 2015

Lirik Lagu Pejuang Agama - Imam Muda



Setiap manusia pasti punya,
Pemikiran yang saling berbeza,

Tapi janganlah cuba untuk memaksa,
Yang lain jika tidak sekata,

Usah taksub tafsiran sendiri,
Pandanglah dari sudut yang lain,
Mungkin ada benarnya kata mereka,
Andainya berfikiran terbuka,

Renungkanlah bersama,

Habibi janganlah membenci,
Hentikan dari saling menyakiti,
Habibi hanya jikalau bersatu,
Umahmu akan lebih maju,

Temanku, bersalamlah selalu,
Hormati mereka disekelilingmu,
Temanku marilah kita bersama,
Menjadi pejuang agama,

Tak perlu meninggikan suara, 
Untuk meluah apa dirasa,
Kerana lantang itu bukannya bermakna,
Katamu menjadi lebih benar,

Renungkanlah bersama,


Habibi janganlah membenci,
Hentikan dari saling menyakiti,
Habibi hanya jikalau bersatu,
Umahmu akan lebih maju,

Temanku, bersalamlah selalu,
Hormati mereka disekelilingmu,
Temanku marilah kita bersama,
Menjadi pejuang agama,

Hindari rasa benci, sesama sendiri,
Teguhkan ikatan, antara saudara,

Habibi janganlah membenci,
Hentikan dari saling menyakiti,
Habibi hanya jikalau bersatu,
Umahmu akan lebih maju,

Temanku, bersalamlah selalu,
Hormati mereka disekelilingmu,
Temanku marilah kita bersama,
Menjadi pejuang agama.