Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Tuesday, December 15, 2015

Hamba Peperiksaan

Alhamdulillah, fasa peperiksaan SPM 2015 telah aku lalui dengan sempurna.

Pada pagi 25 November 2015, aku dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa salah seorang pelajar Tingkatan Lima dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur menggantungkan dirinya kerana tidak dapat menjawab sebahagian besar soalan kertas Matematik Tambahan (Add Math) sehari sebelumnya.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, pada pandangan aku, soalan subjek Sains Elektif (Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan) bagi para pelajar yang mengambil jurusan Sains Tulen tahun ini sememangnya sukar. Sebahagian besar pelajar dari seluruh negara akan menjadikan istilah KBAT (High Order Thinking Skills) sebagai faktor utama kegagalan menjawab soalan yang dikemukakan.

KBAT ini sememangnya bagus kerana boleh menggerakkan minda pelajar agar tidak terlampau membuta tuli semata-mata dengan menghafal buku teks untuk meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa bukan semua pelajar memiliki keupayaan untuk memandang jauh segenap perkara dan menghubungkaitkannya dengan pemasalahan semasa.

Sebagai seorang yang waras, meletakkan kesalahan itu pada KBAT juga tidak tepat kerana keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun lepas walaupun telah diselitkan dengan sebegitu banyak soalan KBAT. Secara relatifnya, pelajar PT3 sememangnya jauh lebih bersedia untuk menghadapi SPM berbanding generasi kami.

Kami merupakan generasi akhir PMR, sejenis peperiksaan yang mengizinkan anda untuk belajar 'last-minute' tetapi menjanjikan kecemerlangan yang luar biasa. Kami hanya perlu memiliki daya akal yang mantap untuk menghafal, mengira dan sedikit kemahiran mencongak, lalu kami berjaya meraih semua 'A'. Sungguhpun begitu, dalam setiap peperiksaan yang akan dihadapi, aspek tawakal perlu senantiasa dijunjung tinggi. Di dalam dewan peperiksaan, perkara yang mustahil untuk berlaku pun boleh berlaku.

Hanya kerana sehelai kertas Add Math, bunuh diri menjadi pilihannya.
Yang akan melakarkan potret masa hadapan penuh kegemilangan ialah dirinya, bukan kertas Add Math.
Itu hanya sehelai kertas biasa. Jangan terlampau obses dengan gred peperiksaan.