Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Monday, December 10, 2018

Politik Pelajar di UPM




Pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia baharu saja berakhir. Secara keseluruhannya, setiap calon yang bertandiing telah mengemukakan pelbagai manifesto yang amat menarik pada pendengaran ramai, namun belum pasti mampu dilaksanakan dengan jayanya. Sekali lagi, parti Mahasiswa Putra diberikan mandat untuk terus menerajui kepimpinan MPP dan diharapkan mampu membawa suara para pelajar dengan lebih jelas kepada badan pengurusan Universiti. Parti pembangkang yang dominan, iaitu SMART telah memenangi lima kerusi MPP dan diharapkan mampu menjalakan peranan 'semak dan imbang' yang sempurna kepada MPP.


Sejujurnya, aku merupakan penyokong kuat SMART UPM. Tujuan aku memberikan sokongan kepada SMART bukan semata-mata untuk menumbangkan Mahasiswa Putra tetapi untuk membangunkan semula kepimpinan politik pelajar yang lebih demokrasi, namun meletakkan nilai-nilai Islam sebagai panduan. Walau bagaimanapun, aku suka berpesan kepada rakan-rakan yang akan keluar mengundi tempoh hari supaya memilih pemimpin yang benar-benar berkaliber agar aspirasi pelajar sentiasa dapat diketengahkan. Seseorang calon yang mengenakan kopiah putih, berpakaian kemas dan petah berkata-kata di hadapan khalayak bukanlah menjadi prasyarat bahawa dirinya itu benar-benar layak untuk memimpin. Pepatah Inggeris seringkali menyatakan bahawa "Action speaks louder than word". Terdapat segelintir calon Mahasiswa Putra yang mantap prestasinya sama ada dari aspek akademik mahupun sumbangannya kepada Universiti dalam bidang luar akademik. Hal ini pastinya menyukarkan pihak SMART untuk terus berdiri teguh dan menjadi pilihan utama pelajar.


Sehingga ke saat artikel ini ditulis, kebanyakan pelajar UPM menghadapi pelbagai masalah yang belum lagi ditemui titik noktahnya:

1) Sistem pengangkutan yang tidak efisien.
2) Sistem merit kolej-kolej kediaman.
3) Kawalan keselamatan pintu-pintu pagar UPM.
4) Harga makanan yang membebankan.
5) Kesesuaian aktiviti Universiti


Aku tidak pasti keperluan untuk menerangkan hal-hal di atas. Walau bagaimanapun, aku rasa tidak patut untuk membiarkan para pembaca tertanya-tanya dengan perkara yang sedang hangat berlaku.

1) Sistem pengangkutan yang tidak efisien. Para pelajar terpaksa menunggu bas dengan kadar kelewatan sehingga hampir satu jam dan hal ini tidak sepatutnya berlaku. Terdapat segelintir pelajar yang bergerak ke fakulti lain dengan menaiki Grab dengan tambang RM 2 sekepala. Seseorang itu perlu membelanjakan sekitar RM30 seminggu jika konsisten dalam sehari perlu menaiki Grab sebanyak tiga kali. Aku yakin jumlah sebegitu bukannya murah. Hal ini belum ditambah lagi jika pelajar terpaksa berhimpit-himpit dan 'teraba' sepanjang menaiki bas. Itu bukanlah situasi yang manis dipandang.

2) Sistem merit kolej-kolej kediaman. Di UPM, seandainya para pelajar ingin terus kekal menetap di kolej yang sama pada tahun berikutnya, sejumlah kupon merit mesti dikumpulkan. Dalam hal ini, penyertaan pelajar dengan aktiviti kolej dapat menambahkan lagi jumlah merit yang terkumpul. Semakin aktif, semakin banyak merit dan menjanjikan peluang yang lebih cerah kepada pelajar untuk terus tinggal di kolej kediaman pada tahun hadapan. Isunya bukan pada pengumpulan merit. Jika diceritakan juga, entri kali ini akan menjadi semakin panjang dan berbelit. Sungguhpun begitu, jika hal merit ini diajukan kepada pensyarah-pensyarah di UPM, kebanyakannya akan menzahirkan perasaan tidak puas hati.

3) Kawalan keselamatan pintu-pintu pagar UPM. Sejujurnya, para pelajar lebih cekap daripada pasukan Polis Bantuan yang telah disediakan oleh pihak Universiti. Mereka sewenang-wenangnya boleh keluar pada pukul 2 pagi untuk membungkus Nasi Goreng Ayam di Restoran Maulana. Situasi ini pastinya tidak baik dari aspek keselamatan dan menjejaskan imej Universiti juga. Bagaimanakah pula dengan masalah 'khalwat' di kawasan-kawasan sunyi sekitar Universiti?

4) Harga makanan yang membebankan. Pelajar perlu berbelanja sekurang-kurang RM 5.40 untuk mendapatkan sepinggan nasi berlauk dan secawan ais kosong besar di Putra Food Court. Sekali makan ya. Jika sehari 3 kali makan, amaun yang dibelanjakan sudah RM 16.20 dan itu sangatlah tinggi. Aku bersimpati dengan rakan-rakan yang terpaksa mencatu makanan sehari-hari walaupun adakalanya tumpuan belajar itu terjejas sedikit. Itulah bukanlah situasi yang menyenangkan.

5) Kesesuaian aktiviti Universiti. Jikalau boleh, Bahagian Hal Ehwal Pelajar perlu mewujudkan keseimbangan acara melibatkan pelajar-pelajar Islam, bukan Islam dan kebudayaan yang melibatkan semua kaum. Pendekatan atkvititi tertentu perlu untuk menjadikan para pelajar Islam sentiasa dekat dengan Masjid UPM atau Surau Kolej kediaman. Mungkin sedikit wang perlu dibelanjakan untuk menarik minat mereka tetapi berbaloi dalam membentuk peribadi mereka, InsyaAllah. Pelajar bukan Islam juga tidak boleh diketepikan. Kesedaran beragama mungkin boleh menjadi 'benteng' kepada mereka agar tidak keterlaluan dalam urusan harian. Aktiviti kebudayaan perlu diadakan dengan kekerapan yang wajar; bukan selalu agar fokus para pelajar dengan akademik tidak terjejas.

Oleh itu, apakah komen MPP hari ini tentang isu tersebut? Aku mungkin kurang maklum dengan langkah proaktif yang telahpun dijalankan oleh pihak MPP untuk menyelesaikan isu-isu di atas.

Sebagai kesimpulannya, pilihan raya MPP pada tahun ini diharapkan membawa semangat Pilihan Raya Umum Ke-14 yang telah berlalu pada 9 Mei 2018. Suara rakyat, suara keramat. Seandainya kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Pakatan Harapan hari ini gagal melunaskan segala janji dan membawa pembaharuan yang konsisten kepada negara, kita wajib menggunakan saluran undi untuk menukarkannya. UMNO dan Barisan Nasional pastinya telah mempelajari banyak perkara sepanjang berada di blok pembangkang dan diharapkan agar semangat mereka kembali pulih untuk kembali menjadi kerajaan pada masa akan datang. Inilah sistem politk yang sedang kita laungkan saban hari kepada MPP UPM; agar suara para pelajar mampu menjadi penentu ke arah merealisasikan kewujudan persekitaran Universiti yang makmur ataupun sebaliknya.