Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Sunday, March 31, 2013

Pesanan (8)

 
 
Jangan berputus asa. Orang yang mudah berputus asa ialah orang yang rugi. Dia seolah-olah tidak tahu bahawa Allah Subhanahu Wataala sentiasa merencanakan sesuatu yang baik buat dirinya walaupun dia bersangka bahawa segala yang berlaku ke atas dirinya buruk-buruk belaka. Silap. Dari situlah, Allah ingin menguji diri kita sama ada iman kita semakin mantap ataupun semakin kendur hanya kerana ujian sebegitu kecil. Jangan berputus harapan. Kita tidak tahu perkara yang akan berlaku pada hari esok. Mungkin, ada perkara yang baik akan berlaku pada keesokan harinya. Setelah berusaha, bertawakal. Saya ingat pesan seorang ustaz yang menjadi pengacara rancangan Halaqah, iaitu Ustaz Badlishah, katanya ingat DUIT. DUIT itu bermaksud doa, usaha, ikthiar dan tawakal. Amalkan dalam hidup kita seharian. InsyaAllah, kita bahagia dunia dan akhirat.

Sunday, March 24, 2013

Kartun Comel (5)




Sahabat adakalanya menjadi teman yang paling rapat dalam hidup kita. Dialah tempat kita meluahkan segala perasaan yang terpendam dan dia jualah tempat bagi kita mencari penyelesaian masalah berdasarkan pandangannya. Hidup kita tidak boleh bersendirian. Kita tidak boleh berdiri secara bersendirian. Kita perlukan sokongan dan dorongan daripada masyarakat sekeliling. Justeru, hargailah nikmat persahabatan. Usah tuntut kesempurnaan kerana setiap manusia pasti melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau sebaliknya. Terimalah segala kekurangan kerana kekurangan itulah menjadi bukti bahawa kita ini ialah makhluk yang lemah di sisi Allah S.W.T. dan amat mengharapkan pertolongan-Nya. Hargailah setiap kelebihan yang dimiliki oleh sahabat kita kerana  barangkali, dengan kelebihan itulah esok lusa sahabat kita akan menghulurkan tangannya untuk membantu kita berdiri setelah jatuh. Maka, sayangilah sahabat kita. Hormatilah mereka. Peliharalah maruah diri mereka dan usah mengatakan atau menyebarkan sesuatu yang mengaibkan dirinya.

Tuesday, March 19, 2013

Pesanan (7)



Sedarlah wahai saudaraku semua. Solat terutamanya solat fardu merupakan satu kewajipan bagi diri kita yang telah melafazkan kalimah syahadah. Selagi berkemampuan, tunaikanlah. Allah telah menyediakan berbagai-bagai cara untuk melaksanakan solat; semata-mata untuk meringankan beban hambaNya yang kurang berkemampuan dalam mengerjakan solat. Jangan tinggalkan solat walau sekali kerana pelbagai hikmat diperoleh melalui solat. Solat tidak mengambil tempoh yang lama. Cuma lima minit. Lima minit yang kamu luangkan untuk bersolat itulah yang akan menyelamatkan kamu daripada azab api neraka. Ramai antara kita sedar akan kesan meninggalkan solat. Namun mengapakah kita masih tidak insaf? Sanggupkah kita melihat ibu bapa kita, keluarga kita, sanak saudara kita dimasukkan ke dalam api neraka semata-mata kerana meninggalkan perintah Allah S.W.T.? Masih ada peluang untuk bertaubat kepadaNya.

Saturday, March 16, 2013

Sifat Orang Beriman


Tidakkah anda teringin menjadi seorang hamba yang benar-benar beriman kepada Allah S.W.T.? Betapa nikmatnya menjadi orang beriman kerana memperoleh rahmat dan kebahagiaan hidup daripada Allah S.W.T. kerana ketaatannya dalam mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. InsyaAllah, di akhirat kelak, kita akan ditempatkan dalam kalangan mereka yang berbahagia kerana memperoleh syurga Allah S.W.T. yang tidak ternilai harganya.

Wednesday, March 13, 2013

Kartun Comel: Makna Surah Al-Fatihah (4)



Surah Al-Fatihah. Alangkah indahnya hidup ini sekiranya kita dapat menjiwai kalam-kalam Allah S.W.T. terutama ketika sedang menunaikan solat. Sebenarnya, terdapat banyak fadhilat yang akan diperoleh oleh seseorang yang lidahnya sering melafazkan surah Al-Fatihah. Antaranya ialah, Al-Fatihah mampu untuk menyembuhkan penyakit, sebagai perlindungan ketika berhadapan dengan musibah dan bagi menenangkan jiwa yang gelisah. Kebiasannya, kita juga akan menyedekahkan Al-Fatihah kepada insan yang baru kembali kepadaNya. Jom kita amalkan surah Al-Fatihah dalam kehidupan seharian kita. ^^

10 Sahabat Dijamin Syurga


Marilah kita bersama-sama mendapatkan syurga Allah S.W.T. dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. InsyaAllah, di syurga nanti, kita akan bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang sentiasa di sampingnya bagi membela dan mempertahankan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda.