Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Wednesday, December 25, 2013

Pokok dan Diri Seorang Mukmin..^^



Akar umbi bagi jiwa seorang Mukmin pastinya akidah. Jika akidah kita mantap, pasti lahiriah kita sentiasa dibatasi dengan syariat Islam. Untuk membuktikan bahawa kita berpegang teguh kepada Allah Subhanahu Wataala, maka kita diwajibkan untuk melaksanakan ibadah asas seperti solat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji jika berkemampuan. Sungguhpun begitu,  jika kita hanya melakukan ibadah asas tanpa diiringi ibadah sunat maka adakah pahala hasil pelaksanaan ibadah asas itu benar-benar mencukupi bagi membolehkan kita untuk menjejakkan kaki ke syurgaNya kelak? Syurga itu satu perkara. Kita hanya akan dapat masuk ke syuga Allah sekiranya Allah melimpahkan rahmatNya buat kita. Paling utama sekali ialah redha Allah. Adakah ibadah asas kita benar-benar sempurna sehingga kita merasakan bahawa ibadah sunat tidak perlu dilakukan? Hanya Allah yang Mengetahui. Sebagai hamba Allah yang kerdil, kita sepatutnya merasakan bahawa amalan dan bekalan kita masih belum cukup untuk menghadapNya kelak. Justeru itu, ibadah sunat dilaksanakan bagi memperbaik serba sedikit kekurangan yang terdapat dalam ibadah asas dan meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah, Tuhan Semesta Alam. Apabila akidah sudah mantap, ibadah asas dan ibadah sunat juga sudah dilaksanakan secara istiqamah maka InsyaAllah akhlak kita juga akan menjadi baik. Buah itu adalah hasil istiqamah kita dalam menjadi hamba Allah yang benar-benar taat. Buah manis bukan? Itulah akhlak. Contohilah peribadi dan akhlak yang ditonjolkan oleh junjungan jiwa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hasilnya ialah ramai Musyrikin Mekah yang memeluk Islam kerana begitu kagum dengan kecantikan budi pekerti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. SubhanAllah. Aku amat merinduinya. :)

Thursday, December 19, 2013

Tahniah Semua! ^^


 
 
Alhamdulillah, terlebih dahulu, aku ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon PMR 2013 yang telah berjaya merangkul kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut. Berdasarkan laporan berita, terdapat peningkatan berskala kecil dalam peperiksaan tersebut. Aku benar-benar berbangga dengan kalian. Sungguhpun begitu, jangan kalian semua lupa bahawa Allah jualah yang Maha Pemberi Kurnia. Adakah layak bagi kita untuk bermegah-megah dengan semua yang telah kita miliki sedangkan semua itu nanti akan kembali kepadaNya kelak? Kejayaan hanyalah pinjaman Allah yang sementara. Usah lupa diri dan berasa takbur bahawa diri sudah cukup berilmu. Segala puji pujian perlulah kembali kepada Allah. Aku juga berbangga melihat rakan-rakan seusia kalian yang tidak berjaya dalam peperiksaan PMR. Bangga? Ya, aku berbangga dengan kalian kerana kalian masih tabah dan senantiasa meletakkan kepercayaan kepada Allah, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Usah khuatir. Jika kamu sudah berusaha, pasti kejayaan akan menempa diri kamu. Yakinlah kepada Allah. Usah bersedih kerana perjalanan masih jauh. SPM sedang menanti kamu saat kamu selesai sahaja menduduki kertas terakhir dalam peperiksaan PMR. Amanah dan tanggungjawab masih terpikul di bahu. Tingkatkan usaha bagi menghadapinya kelak. Allah memberikan kita mata di hadapan agar kita terus memandang ke hadapan. Belajarlah untuk menerima hakikat akan tiap-tiap sesuatu yang telah berlaku jika kita ingin menjadi insan yang bahagia. Begitu ramai insan di luar sana yang pernah menghadapi kegagalan namun kerana sikap yang tidak kenal erti putus asa, akhirnya mereka berjaya juga. MasyaAllah. Sesungguhnya, Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang benar-benar ikhlas. :)