Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Thursday, December 19, 2013

Tahniah Semua! ^^


 
 
Alhamdulillah, terlebih dahulu, aku ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon PMR 2013 yang telah berjaya merangkul kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut. Berdasarkan laporan berita, terdapat peningkatan berskala kecil dalam peperiksaan tersebut. Aku benar-benar berbangga dengan kalian. Sungguhpun begitu, jangan kalian semua lupa bahawa Allah jualah yang Maha Pemberi Kurnia. Adakah layak bagi kita untuk bermegah-megah dengan semua yang telah kita miliki sedangkan semua itu nanti akan kembali kepadaNya kelak? Kejayaan hanyalah pinjaman Allah yang sementara. Usah lupa diri dan berasa takbur bahawa diri sudah cukup berilmu. Segala puji pujian perlulah kembali kepada Allah. Aku juga berbangga melihat rakan-rakan seusia kalian yang tidak berjaya dalam peperiksaan PMR. Bangga? Ya, aku berbangga dengan kalian kerana kalian masih tabah dan senantiasa meletakkan kepercayaan kepada Allah, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Usah khuatir. Jika kamu sudah berusaha, pasti kejayaan akan menempa diri kamu. Yakinlah kepada Allah. Usah bersedih kerana perjalanan masih jauh. SPM sedang menanti kamu saat kamu selesai sahaja menduduki kertas terakhir dalam peperiksaan PMR. Amanah dan tanggungjawab masih terpikul di bahu. Tingkatkan usaha bagi menghadapinya kelak. Allah memberikan kita mata di hadapan agar kita terus memandang ke hadapan. Belajarlah untuk menerima hakikat akan tiap-tiap sesuatu yang telah berlaku jika kita ingin menjadi insan yang bahagia. Begitu ramai insan di luar sana yang pernah menghadapi kegagalan namun kerana sikap yang tidak kenal erti putus asa, akhirnya mereka berjaya juga. MasyaAllah. Sesungguhnya, Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang benar-benar ikhlas. :)