Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Sunday, August 19, 2012

Salam Aidilfitri

Sebentar tadi, khatib telah menyampaikan khutbah Aidilfitri bagi tahun ini yang membicarakan Aidlfitri: Asas Keutuhan Perpaduan. Ya, umat Islam sangat lemah. Satu ketika dahulu, Islam kuat kerana utuhnya perpaduan dalam kalangan komuniti Islam. Nyawa sanggup dijadikan galang ganti semata-mata untuk mempertahankan kesucian agama daripada individu mahupun kumpulan yang memusuhi Islam. Pun begitu, setelah tumbangnya Turki Uthmaniyah, sudah tidak erat lagi ukhuwah antara umat Islam. Dalam pada masa yang sama, muncul pula kumpulan ajaran sesat yang menyebabkan umat Islam pada masa itu sehingga saat ini keliru dengan kebenaran sesuatu ajaran tersebut. Tidak kurang juga, Barat mula menguar-uarkan aliran pemikiran yang jelasnya bertentangan dengan syariat Allah. Akhirnya, matlamat hidup semakin jauh daripada yang diharapkan kerana kelekaan dan kelalaian kita semua. Justeru itu, marilah kita bersama-sama menjadikan kandungan khutbah Aidilfitri itu tadi sebagai satu iktibar dan panduan dalam menjadi hamba Allah yang bertakwa. Jom amalkan sikap yang mulia seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan sebagainya. Dengan itu, hubungan antara satu sama lain dapat dieratkan dan mampu untuk menggerunkan musuh-musuh Islam seandainya dipraktikkan berlandaskan syariat Allah. Yang lalu biarlah berlalu. Hari ini, kita bersihkan segala yang terkandung di dalam jiwa raga kita daripada sikap hasad dengki, berdendam dan sebagaimana yang berkaitan. Mudah-mudahan, Aidilfitri tahun ini memberikan impak positif terhadap diri, masyarakat Islam dan seterusnya negara. Tatkala kita sedang bergembira menyambut lebaran, usahlah lupa akan saudara-saudara kita di luar sana yang tidak dapat berhari raya semeriah kita, Mereka juga berkeinginan seperti kita cuma keadaan dan faktor kewangan sahaja menjadi penghalang. Doakanlah yang terbaik buat mereka juga. Hari ini mungkin hari kita. Esok lusa barangkali hari mereka pula.

Saturday, August 11, 2012

Hukum-Hakam Agama (1)

HUKUM PERFUME BERALKOHOL

1) Harus dan sah solat, walaupun menggunakan minyak wangi beralkohol. Ini kerana bukan semua alkohol adalah najis. Para Ulama menyebut alkohol najis berdasarkan hadith nabi yang memberi isyarat bahawa arak  itu najis.  Ia diambil dari ayat al-Quran yang menyebut :
"Arak, tenung dan tilik nasib, lemparan kayu nasib adalah kekotoran ('rijs') dari hasil kerja Syaitan " (Al-Maidah; 90).
Dan dari hadith oleh Abu Tha`laba al-Khushani di dalam sohih al-Bukhari dan Muslim:
"Wahai Nabi Allah, kami tinggal di tanah Ahli Kitab, bolehkah kami makan & minum di dalam bekas mereka?" Nabi membalas : "Sekiranya kamu mendapati bekas selain bekasan mereka, maka jangan  menggunakannya, sekiranya kamu gagal mendapatkan selainnya, maka hendaklah kamu basuh bekas itu dahulu dan kemudian makanlah menggunakannya "
Imam An-Nawawi (Syarah Sohih Muslim 13/14:86) dan Imam As-Shawkani ( Naylul Awtar, 1/71) menyebut "Maksud larangan makan menggunakan bekas-bekas mereka menunjukkan apa yang mereka masak dan minum menggunakan arak adalah kernana ia dihukum sebagai najis"
Hasilnya kesemua ulama empat mazhab sebelum itu pun telah menyebut bahawa arak adalah Najis.

1) Mazhab Hanafi, menurut kitab al-Fiqh al-Islami wa adillatuh (6/158) menyebut bahawa jika terdapat setitik arak sebesar syiling di baju seseorang, maka solatnya menjadi batal.

2) Mazhab Maliki, disebut oleh Ibn Rushd dalam Bidayat al-mujtahid (2/125); "Tiada satu jenis pun dari alkohol, bangkai dan najis boleh digunakan kecuali untuk tujuan perubatan"

3) Mazhab Shafi`i, arak disebut najis sebagaimana disebut oleh Imam An-nawawi di dalam al-Majmu` 2/569-570 (dipetik dari Imam al-Ghazali);

4) Demikian juga menurut mazhab Hanbali ( Ibn Quddama, al-Mughni, 9/152).

Benar 70 % atau lebih dalam arak adalah alkohol, tetapi ia jenis "Denatured alcohol" yang telah diproses untuk tujuan memberikan kemabukkan. Sila rujuk  Denatured Alcohol . Adapun, alkohol yang ada di dalam minyak wangi adalah bukan jenis ethanol yang sama dengan apa yang ada di dalam arak, ia menggunakan ‘Absolute ethanol' iaitu satu jenis alkohol dengan hanya sedikit air dan campuran lain (maka kesannya juga berbeza dari kesan arak, malah ia tidak lagi digelar arak, barangsiapa yang meminumnya pula, ia mungkin boleh membawa seseorang itu ke alam barzakh dengan segera ! dan bukannya mabuk

Kesimpulannya, menggunakan minyak wangi beralkohol adalah dikira suci dan tidak menjejaskan solat seseorang. Itulah pendapat saya berdasarkan hujjah di atas dan demikian juga pandangan yang diberi oleh guru-guru saya seperti Prof. Dr Abd Fatah Idris  melalui kitabnya dan Syeikh Prof Dr Fadhal Hassan Abbas melalui kuliahnya.

BAGAIMANAPUN, AKHIR-AKHIR INI SAYA MENDAPAT INFOMASI TIDAK RASMI BAHAWA TERDAPAT PERFUME DARI BARAT YANG JUGA MEMPUNYAI ELEEMN 'LARD' ATAU BABI DI DALAMNYA. JIKA BENAR, MAKA ia adalah diharamkan dan tidak sah di bawa di dalam solat.

Cuma sumber yang menyatakannya adalah masih tidak kukuh dan saya tidak menumpukan kajian terhadap hal babi dalam minyak wangi. Jawapan saya hanya menumpukan isu hukum alkohol.


(Dipetik daripada page Ustaz Zaharuddin...Just share it...At least kita tahu akan hukum memakai minyak wangi beralkohol ketika dalam solat. Kalau saudara saudari ingin tahu lebih lanjut dan terdapat sebarang pertanyaan bolehlah berkunjung ke Zaharuddin. net.)

Friday, August 10, 2012

Pengorbanan Seorang Guru (1)

Beliau menceritakan masalahnya kepada aku. Aku mendengarnya. Ada baiknya kalau kita mendengar luahan hati seseorang. Sekurang-kurangnya tekanan perasaan yang dihadapi oleh seseorang dapat dikurangkan melalui luahan perasaan. Beliau menyatakan bahawa beliau penat. Penat akan segala kerja yang perlu dilakukan. Bukan kerana tidak ikhlas dalam mengajar tetapi apabila semua kerja ditujukan kepadanya untuk diselesaikan maka beliau pening. Itu perlu diberi perhatian, ini perlu diselesaikan. Maka, masa untuk beliau berada di rumah untuk menjaga ibunya yang kurang sihat adalah kurang. Pada pandangan beliau adalah lebih baik menjaga ibu di rumah kerana ibu hanya hadir sekali dalam hidup. Manfaatkanlah masa yang kita ada untuk bersamanya. Ketika ibu sudah tiada nanti, kita akan mula rasa kesunyian. Seolah-olah ada sesuatu yang kurang dalam hidup kita. Begitulah kata beliau kepada aku. Aku mendengarnya sepenuh perhatian. Beliau ada memohon kepada pengetua untuk mengundur diri daripada terlibat dalam organisasi kecil sekolah kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada pengajaran dan dalam masa yang sama untuk menguruskan keperluan di rumahnya. Sungguhpun belum mendirikan rumah tangga namun beliau tetap merasakan tanggungjawab untuk menguruskan segala keperluan di rumahnya tergalas pada bahunya sendiri kerana beliau adalah anak sulung. Anak yang menjadi tonggak harapan keluarga. Aku kasihan mendengar kisahnya. Beliau seolah-olah tersangkut dalam dilema antara perasaan dan kasih sayang terhadap ibunya. Ada perasaan seseorang yang perlu dijaga sekiranya beliau ingin mengundur diri tetapi dalam masa yang sama kalau beliau tidak mengundur diri maka siapakah yang ingin menguruskan keperluan ibunya yang kurang sihat di rumah sedangkan itu adalah tanggungjawab utamanya sebagai seorang anak memandangkan beliau perlu bergerak awal dari rumah semata-mata untuk sampai awal ke sekolah dan menyelesaikan segala macam kerja? Aku tidak mampu untuk memberikan apa-apa kata putus kerana ini aku hanya seorang pelajar biasa. Aku hanya mampu untuk memberikan cadangan yang dirasakan terbaik tetapi aku tidak boleh memutuskan sesuatu dalam hidupnya. Biarlah, Tuhan yang tentukan. Kita hanya merancang tetapi yang menentukan adalah Tuhan.

Sunday, August 5, 2012

Sekadar Nasihat Sebelum Aidilfitri Menjelang (1)

Usahlah kita menunjuk-nunjuk akan apa-apa yang ada pada diri kita seperti pangkat, darjat dan harta. Semuanya itu tidak akan memberi kebahagiaan sekiranya jiwa tidak tenteram. Sekaya manapun kita, setinggi manapun pangkat kita, satu kita perlu ingat bahawa semuanya itu datang daripada Allah S.W.T. Allah S.W.T. mengurniakan rezeki buat hambanya yang terpilih sebagai satu ujian sama ada hambanya itu bersyukur ataupun alpa akan tanggungjawabnya kepada Allah S.W.T.. Maka, kita sebagai hamba-Nya haruslah menggunakan nikmat yang dikurniakan pada jalan yang sepatutnya dan bukannya pada jalan yang sebaliknya. Bersedekahlah sekiranya kita ada harta yang melebihi keperluan. Cukuplah sekadar seringgit sehingga lima ringit, ganjaran pahala dapat diperoleh sekiranya hati ikhlas berbanding bersedekah sehingga mencecah ratusan ringgit tetapi ada unsur riak di hati maka ia sudah jadi tidak ikhlas. Ganjaran pahala juga tidak akan dapat. Maka, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, saya ingin menasihatkan agar berhemahlah dalam berbelanja. Cukuplah sekadar sepasang baju Melayu ataupun baju kurung. Perhiasan dalaman rumah juga tidak perlulah diganti setiap tahun sekiranya masih elok. Simpan duit yang ada untuk kegunaan masa depan ataupun bersedekahlah. Ingat, Hari Raya adalah hari untuk umat Islam bergembira setelah bersungguh-sungguh berpuasa selama sebulan dan bukannya hari untuk menonjolkan pembaziran kepada orang yang bertandang ke rumah.