Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Sunday, August 19, 2012

Salam Aidilfitri

Sebentar tadi, khatib telah menyampaikan khutbah Aidilfitri bagi tahun ini yang membicarakan Aidlfitri: Asas Keutuhan Perpaduan. Ya, umat Islam sangat lemah. Satu ketika dahulu, Islam kuat kerana utuhnya perpaduan dalam kalangan komuniti Islam. Nyawa sanggup dijadikan galang ganti semata-mata untuk mempertahankan kesucian agama daripada individu mahupun kumpulan yang memusuhi Islam. Pun begitu, setelah tumbangnya Turki Uthmaniyah, sudah tidak erat lagi ukhuwah antara umat Islam. Dalam pada masa yang sama, muncul pula kumpulan ajaran sesat yang menyebabkan umat Islam pada masa itu sehingga saat ini keliru dengan kebenaran sesuatu ajaran tersebut. Tidak kurang juga, Barat mula menguar-uarkan aliran pemikiran yang jelasnya bertentangan dengan syariat Allah. Akhirnya, matlamat hidup semakin jauh daripada yang diharapkan kerana kelekaan dan kelalaian kita semua. Justeru itu, marilah kita bersama-sama menjadikan kandungan khutbah Aidilfitri itu tadi sebagai satu iktibar dan panduan dalam menjadi hamba Allah yang bertakwa. Jom amalkan sikap yang mulia seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan sebagainya. Dengan itu, hubungan antara satu sama lain dapat dieratkan dan mampu untuk menggerunkan musuh-musuh Islam seandainya dipraktikkan berlandaskan syariat Allah. Yang lalu biarlah berlalu. Hari ini, kita bersihkan segala yang terkandung di dalam jiwa raga kita daripada sikap hasad dengki, berdendam dan sebagaimana yang berkaitan. Mudah-mudahan, Aidilfitri tahun ini memberikan impak positif terhadap diri, masyarakat Islam dan seterusnya negara. Tatkala kita sedang bergembira menyambut lebaran, usahlah lupa akan saudara-saudara kita di luar sana yang tidak dapat berhari raya semeriah kita, Mereka juga berkeinginan seperti kita cuma keadaan dan faktor kewangan sahaja menjadi penghalang. Doakanlah yang terbaik buat mereka juga. Hari ini mungkin hari kita. Esok lusa barangkali hari mereka pula.