Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Friday, August 10, 2012

Pengorbanan Seorang Guru (1)

Beliau menceritakan masalahnya kepada aku. Aku mendengarnya. Ada baiknya kalau kita mendengar luahan hati seseorang. Sekurang-kurangnya tekanan perasaan yang dihadapi oleh seseorang dapat dikurangkan melalui luahan perasaan. Beliau menyatakan bahawa beliau penat. Penat akan segala kerja yang perlu dilakukan. Bukan kerana tidak ikhlas dalam mengajar tetapi apabila semua kerja ditujukan kepadanya untuk diselesaikan maka beliau pening. Itu perlu diberi perhatian, ini perlu diselesaikan. Maka, masa untuk beliau berada di rumah untuk menjaga ibunya yang kurang sihat adalah kurang. Pada pandangan beliau adalah lebih baik menjaga ibu di rumah kerana ibu hanya hadir sekali dalam hidup. Manfaatkanlah masa yang kita ada untuk bersamanya. Ketika ibu sudah tiada nanti, kita akan mula rasa kesunyian. Seolah-olah ada sesuatu yang kurang dalam hidup kita. Begitulah kata beliau kepada aku. Aku mendengarnya sepenuh perhatian. Beliau ada memohon kepada pengetua untuk mengundur diri daripada terlibat dalam organisasi kecil sekolah kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada pengajaran dan dalam masa yang sama untuk menguruskan keperluan di rumahnya. Sungguhpun belum mendirikan rumah tangga namun beliau tetap merasakan tanggungjawab untuk menguruskan segala keperluan di rumahnya tergalas pada bahunya sendiri kerana beliau adalah anak sulung. Anak yang menjadi tonggak harapan keluarga. Aku kasihan mendengar kisahnya. Beliau seolah-olah tersangkut dalam dilema antara perasaan dan kasih sayang terhadap ibunya. Ada perasaan seseorang yang perlu dijaga sekiranya beliau ingin mengundur diri tetapi dalam masa yang sama kalau beliau tidak mengundur diri maka siapakah yang ingin menguruskan keperluan ibunya yang kurang sihat di rumah sedangkan itu adalah tanggungjawab utamanya sebagai seorang anak memandangkan beliau perlu bergerak awal dari rumah semata-mata untuk sampai awal ke sekolah dan menyelesaikan segala macam kerja? Aku tidak mampu untuk memberikan apa-apa kata putus kerana ini aku hanya seorang pelajar biasa. Aku hanya mampu untuk memberikan cadangan yang dirasakan terbaik tetapi aku tidak boleh memutuskan sesuatu dalam hidupnya. Biarlah, Tuhan yang tentukan. Kita hanya merancang tetapi yang menentukan adalah Tuhan.