Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Monday, February 11, 2013

Pesanan (6)

Semalam, aku menghadiri ceramah Maulidur Rasul di sebuah kampung yang terletak di Sentul. Aku amati pengisiannya amat menarik. Penceramah itu menasihati diri semu pendengar agar tidak hanya sekadar menyambut kelahiran Rasulullah SAW sebaliknya turut mengaplikasikan segala yang telah baginda lakukan sepanjang hidupnya dalam kehidupan kita. Kita sibuk berarak sambil berselawat namun hakikatnya setelah tamat acara perarakan, kita sendiri tertidur sehingga terlepas solat Zuhur. Inikah yang baginda ajarkan kepada diri kita? Adakah baginda meminta kita menyambutnya secara besar-besaran sehingga solat lima waktu yang menjadi perkara utama dalam Rukun Islam diabaikan? Kita sendiri masih belum mengamalkan sunnah nabi sepenuhnya. Itu baru sunnah nabi, bagaimana pula dengan kitab suci Al-Quran yang hanya dibaca jikalau ada waktu terluang? Pelbagai alasan kita berikan kerana tidak membaca Al-Quran. Aku pernah terdengar nasihat seorang ustaz, bacalah sekurang-kurangnya dua muka sehari. Anda bayangkan, dua muka adakah terlalu banyak sehingga merugikan waktu yang sepatutnya kita gunakan untuk tujuan yang lain? Tidak bukan. Kalau buku pelajaran, homework yang dibawa dari pejabat ke rumah boleh diselesaikan dalam tempoh satu malam, mengapakah membaca Al-Quran yang hanya mengambil masa sekurang-kurangnya 5 minit diabaikan? Sebenarnya, kita tidak perlu untuk menyambut ulang tahun kelahiran baginda secara besar-besaran. Cukuplah sekadar kita amalkan apa-apa sahaja yang Rasulullah SAW amalkan sewaktu hidupnya, InsyaAllah kehidupan kita tenang dan barangkali, Rasulullah SAW akan memberikan syafaatnya kepada kita sewaktu kita di Padang Mahsyar kelak. Tidaklah bermaksud kita tidak boleh menyambut Maulidur Rasul namun kita patut fikirkan sesuatu perkara dari segenap ruang. Adakah terdapat perubahan positif pada diri kita, iaitu kehidupan seharian kita yang berlandaskan agama Islam setelah kita menghadiri Maulidur Rasul pada tahun ini? Itulah yang patut kita fikirkan. Perjuangan baginda bersama-sama sahabat baginda dalam memartabatkan syiar Islam di Timur Tengah harus kita ketahui agar kita dapat merasai akan kekuatan seseorang individu yang hidupnya berlandaskan agama. Apabila agama didahulukan, InsyaAllah pencapaian diri meningkat. Namun begitu, perlu ingat bahawa dunia jambatan menuju akhirat. Tinggalkan dunia akan memberikan kesan di akhirat. Tidak mahu bekerja sehingga nafkah isteri tidak diberi semata-mata mahu berjihad menyebarkan Islam adalah suatu kesalahan kerana tanggungjawab memberi nafkah terletak pada bahu suami. Kesannya, dia akan dicampakkan ke dalam api neraka untuk kesalahan yang dirasakan begitu kecil. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW. Kita ikut setiap apa yang diperintahkan dan tinggalkan segala yang dilarang. Senangkan kalau begitu? Namun, rintangan dan dugaan yang melintang di hadapan mata menjadikan pemikiran tidak mampu mengawal hati dan perasaan justeru, yang dilarang juga dilakukan atas motif tertentu yang kebanyakannya tidak diterima dalam agama Islam.