Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Sunday, July 13, 2014

Lirik Lagu: Tangis Sebatang Tamar - Daqmie




Sedu sedan
Itu bak ratapan si kecil
Yang rindu belaian dan perhatian
Yang mendambakan kasih dan sayang
Dari seorang insan yang penyayang

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya

Kisah tangisan sebatang tamar
Menyentuh hati, mengocak perasaan
Benarkah aku cinta, benarkah aku rindu
Sedangkan tak pernah gugur air mata ku mengenangkan mu

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya

Betapa kerasnya hatiku ini
Untuk menghayati perjuangan mu
Betapa angkuhnya diri ku ini
Untuk menghargai perjuangan mu

Ya Rasulallah
Ingin aku menjadi sebatang tamar
Yang menangis rindu kepada mu

Ya Rasulallah
Biarlah aku hanya sebatang tamar
Namun dapat bersama mu di dalam syurga

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya.


Andai sebatang tamar boleh menangis kerana rindukan Rasulullah, bagaimanakah pula dengan diri kita yang kerdil ini? Tidakkah terbit rasa rindu kita terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu alayhi Wasallam? Jika kita inginkan cinta Allah Subhanahu Wataala, maka kita mestilah mencintai RasulNya terlebih dahulu. Semoga Allah mengurniakan hidayah buat diri kita semua. InsyaAllah. Amin. 

#muhasabahdiri #renungandipagihari

Mohon perkongsian ya bagi lirik lagu di atas. :)

Friday, June 27, 2014

Ramadan 1435H



Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan,

Alhamdulillah, bulan Ramadan Al-Mubarak kian tiba. Persoalannya, adakah iman kita benar-benar telah bersedia untuk menghadapinya ataupun sebaliknya? Semoga Allah memberkati perjuangan kita dalam menuruti segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini. Lapangkan hati, bersihkan iman, tetapkan azam. Jadikanlah bulan Ramadan yang akan tiba kelak sebagai salah satu medium untuk kita semakin mendekatkan diri kepada Allah. Usah disia-siakan segala peluang keemasan yang Allah berikan buat hamba-hambaNya pada bulan yang penuh dengan berkah ini. Lakukanlah seberapa banyak ibadah walau sekecil mana sekalipun kerana Allah tidak memandang akan jumlah ibadah yang dilakukan. Sebaliknya, Allah melihat akan kesungguhan dan kemampuan kita untuk kekal istiqamah dalam melaksanakan sesuatu ibadah tersebut. Ayuh kita hidupkan bulan Ramadan dengan melakukan pelbagai amal ibadah untuk menggapai redhaNya. Mudah-mudahan, kita dapat dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar yang menjadi idaman setiap Mukmin. Semoga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang memperoleh kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Amin, ya Rabbal Alamin.

Saturday, April 19, 2014

Sentiasa Dahulukan Allah



Tatkala diri dihambat kesedihan atas segala yang berlaku, aku sedar bahawa masa yang telah berlalu tidak akan dapat diputar kembali. Aku berasa ralat kerana tidak rapat dengan insan ini. Begitulah. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Hanya Allah yang menguasai dan memiliki tiap-tiap sesuatu. Aku sandarkan segala bentuk kesedihan ini kepada Allah. Hanya Dia yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu dan menjadikannya dalam kalangan hambaNya yang memperoleh syurga. Hidup tetap perlu diteruskan.

Kita diberikan peluang untuk bernafas pada hari ini kerana Allah mengizinkan kita untuk terus bertaubat kepadaNya. Mohonlah ampun kepadaNya, semoga dengan sifatNya yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang maka dosa-dosa kita yang lalu diampunkan. Dahulukan hubungan kita dengan Allah, maka Allah akan mendahulukan kita. Usah biarkan kesibukan kita mencari dunia menjadi punca hubungan kita dengan Allah terputus. Insan yang berjaya ialah insan yang sentiasa bergerak merapati Allah.

Wednesday, March 26, 2014

Begitulah..(3)


Ya, 529 orang akan dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan Mesir tanpa sebarang sebab yang munasabah. Namun begitu, kelihatannya mereka langsung tidak gentar ataupun berasa gerun setelah menerima hukuman tersebut. Sebaliknya, senyuman dihadiahkan ketika gambar mereka diambil. Barangkali, inilah hikmahnya orang yang berusaha untuk menegakkan Islam. Mereka sentiasa tenang dan yakin bahawa Allah selalu di sisi mereka. Semoga Allah meredhai perjuangan mereka, InsyaAllah. Amin.

Saturday, March 22, 2014

#DoaBuatMH370





Usah berputus asa. Berdoalah, moga-moga dengan sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang maka, rahmatNya tiba untuk kita semua. Sesungguhnya, daripada Allah kita datang dan hanya kepadaNya kita akan kembali.

Dalam pada itu, aku juga memohon kepada seluruh media tempatan dan mana-mana jua pihak agar menghentikan terus segala siaran yang karut-karut buat masa ini. Jika boleh, hentikan terus segala bentuk siaran yang melibatkan maksiat dan boleh mengundang kemurkaan Allah. Cubalah memahami perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun begitu, sebagai seorang manusia biasa, hanya kepada Allah jualah segalanya disandarkan kerana Allah memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu.



Wednesday, January 29, 2014

Penyelesaian Satu Konflik



Hati kita selalu terdetik; siapakah agaknya yang mampu untuk menyahkan rasa gelisah yang bertandang di pintu hati aku ini? Aku terlalu rungsing, ya Allah. Ya, kita sering menyatakan yang sedemikian. Namun begitu, pernahkah kita terfikir bahawa siapakah agaknya yang mencipta hati kita ini? Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Hanya Allah yang mampu untuk meleraikan segala kekusutan yang hadir di dalam hidup kita. Siapakah agaknya yang menghadirkan rasa gembira dan duka di dalam hidup kita? Pastinya Allah. Mengapakah demikian? Sebenarnya, kasih Allah terhadap kita terlalu dalam. Cuma kita sahaja yang gagal untuk merasai betapa manisnya cinta Allah. Justeru itu, Allah tidak akan mendatangkan sesuatu perkara kepada kita melainkan untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita terhadapNya. Allah ingin menguji kita sama ada kita bersyukur tatkala diri ditimpa ujian ataupun sebaliknya. Ya Allah, berilah kami petunjuk untuk menggapai redhaMu di dunia dan di akhirat. Teguhkan iman kami agar kami sentiasa berada di bawah lembayung rahmatMu. Amin, ya Rabbal Alamin.


*Aku menulis artikel ini tatkala diri aku menghadapi sedikit konflik yang melibatkan masa depan aku. Aku telahpun berusaha untuk meminta pendapat dan pandangan daripada orang di sekeliling aku namun, kebanyakan mereka gagal untuk memberikan petunjuk yang jelas kepada aku. Aku akhirnya sedar bahawa hanya Allah yang mampu menunjukkan kepada aku jalan yang lurus. Alhamdulillah, konflik itu telah berjaya aku selesaikan; berkat petunjuk daripada Allah Taala. Semoga Allah merahmati keputusan aku itu. InsyaAllah.