Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Friday, December 28, 2012

Pengorbanannya Menyedarkan Diriku (1)

Tahun 2012 kian sampai ke penghujungnya. Banyak detik nostalgia yang telah aku alami sepanjang setahun aku bersekolah. Banyak orang yang rapat di samping aku selama ini telah pergi membawa diri. Itulah yang dinamakan perpisahan. Kebanyakan manusia tidak mampu untuk menerima takdir perpisahan dalam waktu yang singkat. Aku juga mengalaminya. Namun, lama kelamaan aku sudah boleh menerima hakikat bahawa jodoh, ajal, maut, pertemuan dan perpisahan itu di tangan Tuhan. Barangkali ada hikmah yang tersirat di situ. Suatu hari nanti aku akan ketahui juga. Aku juga berusaha untuk melupakannya. Perpisahan itu meninggalkan luka di hati. Luka yang bukannya terhiris dengan sembilu. Namun, lukanya adalah lebih parah berbanding itu. Mungkin, pembaca sekalian tidak akan memahami luka di hati aku. Adakalanya, terasa seperti ingin menangis mengenangkan segala yang telah berlaku. Aku tahu, kerana kejadian itulah seseorang yang aku kenali selama dua tahun berhijrah. Berhijrah dengan satu azam yang baru bagi menghadapi tahun berikutnya agar kejadian yang telah melukakan hatinya pada tahun ini tidak akan berulang semula pada masa yang akan datang. Mungkin, itulah doa yang sering diungkapkannya setiap kali selesai bersolat. Aku sendiri yakin hatinya masih lagi terluka sungguhpun sudah berkali-kali aku memohon kemaafan daripadanya bagi mewakili rakan-rakanku. Sepi. Justeru, aku juga berdoa semoga kemaafaan itu diterimanya. Namun, sepi juga. Entahlah, aku amati wajahnya. Aku cuba melihat reaksi wajahnya. Ternyata mendung di situ. Sungguhpun begitu, sebuah senyuman hambar dihadiahkan kepada aku barangkali untuk melindungi muram di wajahnya. Aku faham perasaannya. Jika aku berada di tempatnya, sudah tentu aku juga akan berasa sangat kecewa. Bayangkan, inilah kali pertama dia merasai kekecewaan yang mendalam. Bukan seperti putusnya cinta. Tetapi, ini soal adab dan maruah.


Adab kami yang kurang sopan sebagai pelajar terhadap seorang guru telah menyebabkan dia dilanda kekesalan. Setiap hari dia masuk ke kelas. Mengajar dengan tekun. Niat untuk mendidik anak bangsa menjadi seorang yang berguna setelah dewasa kelak. Niat itu sungguh murni. Bukan senang untuk mendapatkan seorang guru yang sanggup berulang-alik ke sekolah dengan jarak rumahnya yang sangat jauh kerana ingin mendidik anak-anak muridnya. Dia ada menceritakan kepada aku tentang kekecewaannya. Rupa-rupanya, dia sememangnya berhasrat untuk berhijrah. Dia sayangkan ibunya. Dia ada memohon pertukaran pulang semula ke negeri asalnya.Sayangnya, permohonannya ditolak. Dia ditukarkan ke sebuah sekolah di Kepong. Katanya, dia akan membawa ibunya tinggal bersamanya. Begitu sekali pengorbanan seorang anak terhadap ibunya yang kurang sihat. Aku berjanji bahwa aku akan menjaga kedua-dua orang tuaku sebaik mungkin. Selain itu katanya, dia berhijrah atas sebab kelukaan di hati. Aku mula teringat akan kejadian tersebut. Aku sekali lagi bertanya sama ada dia sudah maafkan ataupun belum. Sunyi tanpa jawapan. Biarlah, barangkali jauh di sudut hatinya, kemaafan telah dilafazkan. Cuma zahirnya tidak kelihatan. Biarpun begitu, aku yakin di hatinya sentiasa berdoa semoga kami dipertemu dengan seorang guru yang terbaik, yang mampu untuk membimbing kami sebagai persiapan peperiksaan besar yang akan tiba. Doaku, kau jadikanlah hari guruku yang mendatang adalah lebih baik daripada semalam. Sesungguhnya, semalam penuh dengan kenangan suka duka. Esok adalah misteri yang tidak terungkai. Sementara hari ini ialah realiti kehidupan. Segala-galanya boleh berlaku dalam sehari. Semoga guruku itu sejahtera dunia dan akhirat. Segala pengorbannnya akan aku ambil iktibarnya buat panduan bagi diri aku menjalani kehidupan esoknya yang penuh dengan dugaan dan cabaran yang melintang.