Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Monday, December 31, 2012

Satu Azam Bersempena Tahun Baru


Azam sering dikaitkan dengan impian. Setiap manusia yang lahir dan hidup di muka bumi ini mempunyai impian dalam hidupnya. Begitu juga aku. Aku sering dimotivasikan agar menyemai satu azam pembakar semangat buat diri dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang melintang. Aku sentiasa berdoa semoga segala impian yang aku harapkan selama ini tercapai. Aku tidak pernah mengimpikan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan diri aku. Banyak impian aku, bermula dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah tidak tercapai. Namun, aku tetap bersyukur kepada-Nya. Barangkali berkat kesabaranku, aku berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Aku seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Aku memasuki alam persekolahan menengah dengan azam yang baru; ingin mencipta kejayaan terbaik sepanjang aku belajar di sini. Tahun 2013 akan menjadi tahun penentu kejayaan aku. Aku berdebar-debar untuk memulakan persekolahan pada tahun hadapan. Persoalannya, adakah aku mampu untuk mencapai kejayaan yang selama ini aku impikan? Sudah pasti soalan itu dibiarkan sepi tanpa jawapan oleh sesiapa sahaja yang mendengar. Ini kerana, yang mengetahui akan masa depanku hanyalah Tuhan Yang Maha Esa.


Justeru, aku akan terus berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan besar yang akan aku hadapi. Itulah azam aku. Aku selalu berdoa untuknya. Aku berdoa kerana aku yakin kepada Allah S.W.T.. Selain itu, aku juga akan meminta restu kedua-dua orang tuaku sebelum aku memulakan hariku di sekolah. Berkat doa ibu bapa barangkali kejayaan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai. Antara azamku yang lain ialah aku ingin menjadi seorang anak yang mempunyai akhlak yang baik, ,menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah S.W.T. denan cara melaksanakan segala yang diperintahkan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, anak yang menyayangi ibu bapa dan menghormati para guru di sekolah. Aku yakin dengan prinsip ini; akhlak yang baik mencerminkan keperibadian diri yang unggul. Aku berharap, hari esok adalah lebih baik daripada semalam. Dahulu, aku mungkin tidak sempurna dalam segala aspek. Aku berharap tahun baru ini menjadi inspirasi buat diri aku bagi mengubah diri menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Ya Allah, Kau perkenankanlah doa hambamu yang kerdil ini. Amin Ya Rabbal Alamin.