Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Wednesday, January 9, 2013

Nota Maya buat Sahabatku

Air mataku bergenang di kelopak mataku ketika aku teringatkan dia. Walaupun dia bukanlah sahabat aku yang rapat namun ikatan silaturahim yang terjalin sejak dari Tingkatan 1 mewujudkan persefahaman dan kasih sayang. Kasih sayang antara sahabat. Dia kini sakit. Keadannya menyayat hati bagi sesiapa sahaja yang baru seusia dengannya. Dia seusia dengan aku. Dia menghidap penyakit kanser pada bahagian bahu. Kini, dia telah memasuki kanser tahap empat. Aku mula berasa bimbang.


Cerita yang disampaikan daripada seorang guru Bahasa Melayu di sekolah aku amat mengejutkan. Keadannya itu boleh membawa kepada sesuatu yang amat ditakuti oleh semua manusia yang berfikiran waras. Oleh sebab itulah, dia sering meminta ibunya tidur bersamanya kerana ibunya sahajalah harapannya. Kepada siapakah lagi dia ingin mengharapkan kasih sayang melainkan kepada manusia bergelar ibu yang telah memeliharanya dengan penuh keikhlasan. Jika yang membaca ini adalah sahabatku tersebut, ketahuilah bahawa aku akan sentiasa menyokong dan mendoakan agar kau sembuh. Biarpun kau bukanlah sahabatku yang umpama isi dengan kuku namun keadaan kau itu menginsafkan aku. Betapa aku juga harus beringat bahawa aku juga akan pergi cuma pada berlainan masa. Aku doakan semoga kau sembuh. Walaupun keadaan kau itu tidak memungkinkan engkau akan terus terjaga di atas muka bumi ini namun kekuasaan Allah S.W.T. adalah segalanya. Dialah yang Menguasai Langit dan Bumi dan tiada sesiapa yang mampu untuk menandingi kekuasaan-Nya. Jika Dia inginkan kau hidup nescayalah kau akan pulih. Namun, usahlah kau berputus asa. Kalau kau bersedih, ingatlah Allah. Yakinlah bahawa Allah sentiasa menemani kau. Setiap doa, tangisan kau didengari-Nya. Ini adalah satu bentuk ujian yang diturunkan-Nya. Kau kuatkanlah semangat. Allah menurunkan ujian kepada hamba-Nya adalah berdasarkan kemampuannya. Justeru, kau yakinlah bahawa kau mampu untuk meneruskan kehidupan ini. Di samping itu, perbanyakkan zikir jika tidak mampu untuk memegang Al-Quran. Basahkanlah bibir kau di saat kau sedang sakit ini. Tiada apa-apa yang mampu untuk orang di sekeliling kau lakukan. Mereka telah lakukan yang terbaik. Terpulang kepada kau. Sematkan satu iltizam. Aku ingin sembuh! Aku ingin sembuh! Aku ingin sembuh! Itu juga merupakan satu bentuk doa. Setiap patah perkataan yang engkau lafazkan selama ini adalah doa. Ketahuilah bahawa doa seorang hamba itu akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T.. Cuma, masa sahaja yang menentukan. Maka, janganlah putus asa. Kaulah sahabat aku. Biarpun ini hanya interaksi dunia maya yang memungkinkan seseorang itu hanyalah berkata-kata tanpa ada keikhlasan dalam penulisannya tetapi aku harap engkau tahu. Tahu bahawa ada orang menyokong engkau dari belakang. Doaku, semoga engkau sembuh dan menjadi kawan aku dunia akhirat. Maafkan aku jika kata-kataku mengguris perasaan engkau. Maafkan aku juga jika selama ini aku ada berbuat silap. Aku juga memaafkan segala kesalahan engkau selama ini.