Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Sunday, January 13, 2013

Secebis Kasih

Jika anda berada di ibu kota, sudah tentu anda akan dapat melihat pelbagai ragam manusia dalam menuju ke destinasi yang diingini. Hari ini, aku ingin menceritakan tentang pengemis. Pengemis ialah individu yang meminta belas ihsan seseorang agar membantunya melalui pelbagai cara. Pengemis sering kelihatan di kaki lima mengharapkan seseorang yang lalu di hadapannya menghulurkan barang seringgit buat kegunaannya mengisi perut yang kosong. Namun, pengemis yang aku ingin katakan pada hari inilah bukanlah peminta sedekah tetapi berkenaan anak yang menjadi tonggak harapan keluarga. Ibu bapa sering berdoa agar anak mereka menjadi anak yang berguna dan berjaya di dunia dan di akhirat. Lahir sahaja anak mereka ke dunia ini telah meletakkan satu harapan ke atasnya. Sayangnya, harapan hanyalah tinggal harapan. Kebiasaannya, anak akan mudah terpengaruh dengan ajakan rakannya ketika masuk ke alam persekolahan menengah. Apabila terpengaruh dengan saluran yang salah, mulalah pergerakannya tidak dapat dikawal sehingga anaknya sudah pandai untuk melawan kata-kata orang tuanya.


Namun demikian, anak tidak harus dipersalahkan secara keseluruhannya. Ibu bapa juga harus bertanggungjawab. Kenapa? Ibu bapa pada hari ini sentiasa sibuk dengan pekerjaan mereka terutama sekali bagi mereka yang berpangkat besar. Mereka seolah-olah ketiadaan masa untuk bersama dengan anak mereka biarpun sebentar seperti sedang menonton televisyen setelah makan malam. Sungguhpun bukan semua ibu bapa sedemikian namun ia sesuatu yang membimbangkan. Anak-anak merasakan bahawa kehidupan mereka bebas, bebas untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa ada kongkongan ibu bapa. Jika berlaku sebegini, bukanlah bermakna tugas kalian sebagai ibu bapa telah gagal namun kerana kelekaan kita terhadap harta dunia sehingga kita lupa akan anak kita yang saban hari menunggu kita pulang dari kerja semata-mata mengharapkan secebis kasih. Mereka seperti pengemis yang inginkan kasih sayang namun bukan dari segi kewangan. Mereka ingin perhatian. Mereka inginkan pelukan ibu bapa. Namun, ibu bapa sering pulang lewat dan adakalanya pertengkaran tercetus tanpa alasan yang munasabah. Akhirnya, anak sering bertemankan air mata kerana tidak tahan akan semua itu. Mereka masih kecil. Mereka tidak mengetahui apa-apa.  Aku rasa, sudah tiba masanya untuk kedua-duanya berubah. Ibu bapa dan anak-anak. Jikalau ibu bapa dan anak-anak memainkan peranan yang sebenarnya dalam institusi kekeluargaan nescaya gejala sosial yang semakin merebak dalam kalangan remaja akan dapat dibendung. Biarpun anak kalian telah besar sekalipun namun tanggungjawab menegur sekadar yang termampu masih tergalas di bahu. Ingatlah, anak ialah harta akhirat. Kalian ingin senang di bawah sana? Maka pastikan anak kalian berjaya. Berjaya bukan semestinya berjaya menjawat jawatan besar. Sebaliknya, berjaya dalam kedua-duanya, dunia dan akhirat. Dunia adalah jambatan akhirat. Didiklah anak kalian dengan kasih sayang. Namun, jangan keliru akan maksud seperti menatang minyak yang penuh. Mendidik anak juga memerlukan ketegasan. Ambillah tindakan yang sempurna pada waktu ini. Pada waktu akan datang, barulah kalian sebagai ibu bapa mengetahui akan indahnya memiliki harta yang tidak ternilai iaitu anak.