Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Monday, April 15, 2013

Luahan Perasaan (1)

Aku telah meluahkan segala-galanya kepada ustazah. Aku yakin ustazah mengerti. Aku harapkan jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran aku. Ustazah seorang tenaga pengajar. Aku yakin dia boleh menyelami luahan perasaan hati aku biarpun hitungan hari makin sedikit untuk dirinya pergi. Namun, aku cuma mencari jawapan untuk menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Cuma berikan jawapan. InsyaAllah, aku akan memikirkan tindakan selanjutnya. Kisah ini berkenaan seorang sahabat aku. Perkenalan kami bermula dengan ucapan "Assalamualaikum".
Aku tidak menegurnya dahulu kerana itulah kali pertama aku berjumpa dengan dia. Teringat aku pada masa itu, kami berjumpa dalam surau. Waktu itu ialah waktu agama. Dia datang dari golongan yang boleh dikatakan kaya. Dia bukanlah berwarganegara sini namun cukup fasih berbahasa Melayu. Barangkali, itulah yang dinamakan serumpun. Dia asalnya baik. Aku kelihatannya juga senang berkawan dengannya. Namun, sebaik sahaja masuk bulan keempat barangkali, sikapnya mula berubah. Mungkin kerana cinta, dia berubah. Mungkin kerana inginkan teman sentiasa mendampinginya, dia berubah. Mungkin kerana masalah keluarga, dia berubah. Aku sendiri tidak tahu di mana silapnya. Sehingga sekarang, sikapnya masih begitu. Semasa berada di Tingkatan 2, dia baik. Mengapakah begitu? Mungkin kerana jawatan yang disandangnya; Ketua Pengawas. Seorang yang memegang jawatan sedemikian, iaitu jawatan yang tertinggi dalam organisasi pengawas sekolah sepatutnya menonjolkan akhlak yang baik. Awal tahun Tingkatan 3, dia kelihatan baik. Aku sememangnya berharap dia berubah Pelbagai cara aku cuba agar dia kembali semula kepada dirinya yang sebenar. Namun, masuk bulan keempat, dia berubah semula. Aku faham. Jiwa anak muda yang sedang meningkat dewasa. Dugaan kiri kanan tidak mampu untuk ditempuh dengan akal pemikiran sebaliknya melalui tindakan. Aku menceritakan perkara itu kepada ustazah aku. Sedikit harapan diberikan; katanya akan cuba untuk menasihat secara umum pada hari Rabu yang akan datang. Aku tidak mahu memburuk-burukkannya. Aku yakin suatu hari nanti dia mungkin boleh jadi lebih baik daripada aku sedangkan aku kekal di tempat asal. Namun, adakah itu bermaksud aku hanya duduk berdiam diri dan melihat tanpa berbuat apa-apa? Aku berdoa. Doa aku semoga aku dan rakan-rakan aku diberikan hidayah agar mereka kembali kepada Allah Subhanahu Wataala. Aku pernah mengalami zaman yang lebih teruk daripada mereka. Aku sedar bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan akan dibalas oleh-Nya. Oleh itu, aku segera bertaubat. Aku banyak kali melakukan kesilapan walaupun orang di sekeliling aku menganggap aku baik dan berakhlak mulia. Sebenarnya tidak. Aku cumalah insan biasa. Aku insan yang masih belajar; belajar bukan sahaja untuk dunia tetapi yang paling penting sekali akhirat. Aku tidak mahu dilanda kekesalan ketika di akhirat kelak kerana tidak memanfaatkan dunia untuk beribadah kepada-Nya. Aku menceritakan kepada pembaca semua agar boleh dijadikan iktibar. Dia sahabat aku. Namanya hampir sama dengan aku. Aku harap dia berubah. Ustazah aku tentu tidak dapat membantu aku untuk menyelesaikan masalah ini. Aku kadangkala suka bersendirian. Aku tidak sanggup mendengar bicara mereka. Biarpun ustazah aku memberikan sokongan namun itu hanyalah untuk penyejuk jiwa. Aku tetap perlu menghadapinya sendiri. Persoalannya, adakah aku kuat? Adakah aku mampu untuk membawa mereka kembali berubah ke arah yang lebih baik? InsyaAllah. Semoga Allah merestui niatku itu. Amin Ya Rabbal Alamin.