Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Saturday, July 6, 2013

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Alhamdulillah, bulan Syaaban semakin melabuhkan tirainya. Selepas ini, umat Islam di seluruh dunia akan melalui satu fasa ibadah yang cukup dinanti-nantikan, iaitu puasa Ramadan. Rasulullah SAW turut menggariskan beberapa panduan atau prosedur khas yang wajib dipatuhi oleh umat Islam ketika berpuasa agar segala amalan seseorang hamba itu diterima Allah SWT. Jumhur ulama' juga bersetuju bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, yang khilaf hanya mengenai hari, tarikh dan waktu sebenar ayat pertama diturunkan. Ayuh kita memperbanyak bacaan Al-Quran sebagai tanda menghormati Ramadan yang menjadi bulan turunnya kalamullah.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Semoga amal ibadah yang kita lakukan mendapat gandaan pahala daripada Allah SWT. Dalam Islam, ikhlas dan keupayaan untuk kekal istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Jadikan bulan Ramadan yang bakal tiba sebagai satu madrasah tarbiyah jiwa; untuk membersihkan dan mempertingkat kualiti iman setelah 11 bulan berlalu dalam kelalaian dan kemaksiatan.

Nasihat (16)


Moga-moga begitulah. Biarpun kita tidak melihat Allah, tetapkanlah rasa cinta kita kepada Allah dalam hati. Yakinlah bahawa jika kita merinduiNya, Allah jua pasti menyayangi kita. Ayuh perbanyakkan zikir kepada Allah SWT terutama ketika bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Sekadar berzikir seratus kali SubhanaAllah, namun itu sudah memadai bagi kita yang masih lagi berusaha secara perlahan-lahan mendekatkan diri kepadaNya. Apapun, keupayaan untuk istiqamah tetap menjadi ukuran. Lama-kelamaan, lidah kita akan terbiasa menyebut zikrullah dan akhirnya, kita akan menambah bilangan dan kualiti bacaan zikir setiap hari. Selain memberikan ganjaran pahala, rasa cinta kepada Allah SWT turut bertambah. Tambahan pula, lebih banyak nikmat akan Allah kurniakan kepada kita sebagai balasan kita sentiasa mengingatiNya. Nikmat tidak semestinya dalam bentuk kekayaan. Nikmat yang paling menjadi dambaan kita ialah nikmat kesihatan. Semoga fizikal kita sentiasa sihat sepanjang bulan Ramadhan tahun ini agar lebih banyak amal ibadah boleh dilaksanakan. InsyaAllah. Amin.


p/s: Sesiapa yang memiliki gambar di atas, mohon pengkonsian ya. InsyaAllah, ganjaran pahala tersedia buat insan yang memiliki gambar di atas.

Nasihat (15)


Begitulah kasihnya Allah SWT terhadap diri kita yang kerdil lagi hina ini. Allah SWT tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang benar-benar ikhlas. Jika benar kita beriman kepada Allah, terimalah hakikat bahawa setiap sesuatu yang terjadi, pasti memiliki hikmahnya yang tersendiri. Allah mengambil sesuatu yang kita miliki kerana Allah ingin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan yang pastinya memberikan manfaat pula buat diri kita.
Firman Allah SWT menerusi Surah al-Baqarah, ayat 216:

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Kadangkala, Allah memberikan nikmat kepada kita sebagai satu ujian sama ada kita semakin mensyukuri nikmat yang dianugerahkan ataupun semakin kufur.

Firman Allah SWT menerusi Surah al-Ankabut, ayat 2:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Usahlah bersedih kerana menjadi seorang yang miskin - biar miskin harta, jangan sesekali miskin iman dan taqwa. Teruslah beribadah kepadaNya, berusaha sedaya termampu dan mempertingkat tawakal kepadaNya. InsyaAllah, segala hajat yang kita dambakan selama ini akan dapat direalisasikan. Yakinlah bahawa Allah Maha Pemberi Kurnia.

Friday, July 5, 2013

Bulan Ramadhan Kian Tiba


Alhamdulillah, bulan Ramadhan kian tiba. Aku tidak sabar menanti kehadirannya walaupun aku sendiri masih belum bersedia. Semoga amal ibadah kita terus dipertingkatkan dan kekal istiqamah sewaktu melaksanakannya. InsyaAllah, kita akan tergolong dalam kalangan hambaNya yang bertakwa. Amin ya Rabbal Alamin.