Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Saturday, July 6, 2013

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Alhamdulillah, bulan Syaaban semakin melabuhkan tirainya. Selepas ini, umat Islam di seluruh dunia akan melalui satu fasa ibadah yang cukup dinanti-nantikan, iaitu puasa Ramadan. Rasulullah SAW turut menggariskan beberapa panduan atau prosedur khas yang wajib dipatuhi oleh umat Islam ketika berpuasa agar segala amalan seseorang hamba itu diterima Allah SWT. Jumhur ulama' juga bersetuju bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, yang khilaf hanya mengenai hari, tarikh dan waktu sebenar ayat pertama diturunkan. Ayuh kita memperbanyak bacaan Al-Quran sebagai tanda menghormati Ramadan yang menjadi bulan turunnya kalamullah.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Semoga amal ibadah yang kita lakukan mendapat gandaan pahala daripada Allah SWT. Dalam Islam, ikhlas dan keupayaan untuk kekal istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Jadikan bulan Ramadan yang bakal tiba sebagai satu madrasah tarbiyah jiwa; untuk membersihkan dan mempertingkat kualiti iman setelah 11 bulan berlalu dalam kelalaian dan kemaksiatan.