Cara-cara Untuk Menyemai Rasa Cinta Masyarakat Terhadap Bahasa Melayu.
Dalam era
globalisasi ini, masyarakat sibuk menuntut pelbagai bidang ilmu pengetahuan
bagi memacu kecemerlangan diri, bangsa dan negara. Sungguhpun begitu,
masyarakat seringkali mengabaikan peri pentingnya penguasaan bahasa. Umumnya,
terdapat dua bahasa yang sering digunakan oleh rakyat Malaysia, iaitu bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, bahasa Melayu lebih menjadi keutamaan
memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara Malaysia sepertimana
yang termaktub dalam perlembangaan Malaysia. Itulah keistimewaan yang diperoleh
memandangkan bangsa Melayu merupakan penduduk asal di Kepulauan Nusantara ini.
Oleh sebab itu, pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan amat
mementingkan penguasaan bahasa Melayu. Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu
dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini, kerajaan telah
memperkenalkan satu slogan yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini,
iaitu “Bahasa Jiwa Bangsa”. Slogan itu diharapkan dapat menyemai semangat
cintakan bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai perhubungan seharian.
Pertama, warga
pendidik perlu berganding bahu dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai
pertuturan harian pelajar di sekolah. Hari ini, pelajar sudah tidak mahu lagi
menjadikan bahasa Melayu sebagai pertuturan harian terutama sekali bagi bangsa
bukan Melayu. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa ibunda memandangkan mereka
sendiri sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana faktor kelemahan
penggunaan bahasa mereka. Mereka juga didapati gagal untuk bergaul dengan
rakan-rakan Melayu kerana tidak mahir sewaktu berinteraksi dengan menggunakan
bahasa Melayu. Lebih memburukkan keadaan, pelajar Melayu sendiri sudah lupa
atau tidak tahu akan penggunaan kosa kata dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu
dicampuradukkan dengan bahasa lain sehingga menjadikan bahasa Melayu itu
sendiri semakin rosak. Kesannya, rasa cinta terhadap bahasa Melayu semakin
pudar. Keutamaan guru-guru di sekolah menggunakan
bahasa Inggeris sewaktu mengajar telah meninggalkan perspektif negatif dalam
diri pelajar, iaitu bahasa Melayu tidak perlu diamalkan kerana bahasa Melayu
bukanlah bahasa antarabangsa. Bahasa Inggeris lebih penting memandangkan
kebanyakan bahan-bahan ilmiah diterbitkan dalam bahasa Inggeris untuk dijadikan
rujukan pelajar sekolah mahupun mahasiswa dan mahasiswi di universiti. Untuk
mengatasi masalah ini, guru-guru perlu menjadikan bahasa Melayu sewaktu
mengajar di dalam kelas terutama bagi subjek yang mana buku teksnya diterbitkan
dalam bahasa Melayu. Jika boleh, subjek seperti Sains dan Matematik perlu
diajar dalam bahasa Melayu bagi meningkatkan penguasaan bahasa oleh
pelajar-pelajar. Andai kata pelajar
masih tidak faham, adakan satu perjumpaan di mana pelajar boleh berinteraksi
secara terus dengan guru. Hal sebegini
mampu untuk mendidik pelajar berkenaan untuk mencintai bahasa Melayu.
Selain itu,
wakil-wakil rakyat di sesebuah kawasan juga perlu menggunakan bahasa Melayu
sewaktu memberikan ucapan terutama ketika berkempen bagi parti politik yang
diwakilinya. Penguasaan bahasa Melayu yang baik akan memberikan impak positif
kepada diri seseorang wakil rakyat. Orang Melayu mislannya, akan berasa kagum
mendengar kepetahannya sewaktu berbicara dengan menggunakan bahasa Melayu.
Dengan itu, bahasa Melayu akan dipandang mulia dan masyarakat juga tidak segan
untuk menuturkannya. Penguasaan bahasa Inggeris pula akan menjadi kredit
tambahan kepada wakil rakyat berkenaan kerana perkara ini akan memudahkan wakil
rakyat berkenaan untuk mengadakan debat tentang isu-isu tertentu ketika
bersidang di Dewan Rakyat. Sesetengah wakil rakyat yang bersidang dalam Dewan
Rakyat berkenaan tidak faham akan penggunaan kata yang digunakan. Justeru itu,
wakil rakyat berkenaan boleh menterjemahkankan bahasa Melayu kepada bahasa
Inggeris untuk memberikan kefahaman yang lebih kepada wakil rakyat yang
bersidang. Sungguhpun begitu, bahasa Melayu perlu menjadi keutamaan dalam
melakukan sesuatu perkara kerana bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan.
Tidakkah seseorang wakil rakyat itu berbangga ketika menuturkan bahasa Melayu
yang mendapat pengiktirafan daripada perlembagaan Malaysia? Seseorang wakil
rakyat yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa Melayu akan menyukarkan
masyarakat Melayu untuk memahami hujah yang mereka kemukakan melainkan bagi
sesetengah golongan dalam bangsa Melayu yang mampu menguasai bahasa Inggeris.
Majoriti penduduk di negara ini merupakan bangsa Melayu. Oleh itu, gunakanlah
bahasa Melayu sewaktu memberikan ucapan. Jika pendeta bahasa Melayu seperti
Zainal Abidin Ahmad (Zaba) mendapat peluang untuk mempengerusikan Kongres
Melayu Pertama yang dihadiri oleh puluhan ribu umat Melayu pada masa itu dan
dengan rasa bangga menggunakan bahasa Melayu, adakah wakil rakyat patut berasa
malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu? Justeru itu, jadikanlah bahasa Melayu
itu sebagai bahasa interaksi wakil rakyat kerana untuk menyemai rasa cinta
kepada masyarakat, wakil rakyat sendiri perlu untuk bertutur dalam bahasa
Melayu bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Seterusnya,
badan-badan tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka perlu mengadakan lebih
banyak pertandingan yang mampu menyemai rasa cinta masyarakat terhadap bahasa
Melayu. Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan telah menganjurkan pertandingan menulis esei. Sebenarnya,
pertandingan ini merupakan aktiviti tahunan kementerian berkenaan. Sungguhpun
begitu, pertandingan ini masih memberikan kelonggaran kepada mana-mana individu
yang menyertainya dari sudut penggunaan bahasa. Bahasa Melayu bukan menjadi
keutamaan namun hanya digalakkan untuk menggunakannya. Jika menggunakan bahasa
Inggeris sekalipun, mana-mana esei yang mempunyai isi yang mantap maka individu
yang menulisnya tetap boleh memperoleh kemenangan. Pada tahun 2012,
Pertandingan Menulis Surat 1 Malaysia telah diadakan buat pertama kalinya dan
terbuka kepada tiga peringkat . Apa yang menariknya, pertandingan ini
mewajibkan penggunaan bahasa Melayu. Beginilah bentuk pertandingan yang
sepatutnya diadakan. Untuk menanam rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu,
pertandingan sebegini perlu diteruskan dan untuk mendapatkan penyertaan
menyeluruh, guru-guru juga perlu berganding bahu untuk mengajak pelajar
menyertai pertandingan sebegini. Hadiah bukan menjadi keutamaan. Apa yang lebih
penting ialah pengalaman. Kebanyakan pelajar terutama yang bukan berbangsa
Melayu kelihatannya sukar untuk menulis karangan dalam bahasa Melayu.
Penggunaan kosa kata yang tidak tepat, perbendaharaan kata tidak mantap menjadi
punca mereka tidak mahu mendalami keindahan bahasa Melayu. Oleh itu, jadikanlah
pertandingan sebegini sebagai platform bagi kita untuk memantapkan lagi
penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan harian kita.
Penguatkuasaan
undang-undang juga boleh mewujudkan rasa kasih akan bahasa Melayu. Bagaimanakah
demikian? Hari ini, jika kita lihat di gedung-gedung mewah, kebanyankan kedai
yang menawarkan peluang pekerjaan kepada individu yang berkebolehan akan
menyatakan syarat-syarat kelayakan, iaitu berkebolehan untuk bertutur dalam
bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Sememangnya ekonomi negara Malaysia
dikuasai oleh bangsa Cina namun, kita perlu melihat akan pendirian perlembagaan
Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi. Oleh itu, segala apa jenis
urusan juga perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai perantara. Perkara sebegini
pernah dibangkitkan oleh pakar-pakar bahasa dalam ruangan akhbar, malahan
banyak golongan mahasiswa mahasiswi universiti merungut bahawa mereka sukar untuk
mendapatkan pekerjaan jika majikan menekankan syarat berkenaan. Maka oleh sebab
itulah ramai ibu bapa Melayu sekarang menghantar anak-anak mereka ke sekolah
jenis kebangsaan. Jika ditanya sebab mereka berbuat demikian, mereka akan
menyatakan bahawa mereka bimbang akan nasib anak mereka jika tidak menguasai
bahasa selain daripada bahasa ibunda. Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa
kurikulum sekolah jenis kebangsaan kebanyakannya lebih sistematik dan terurus
berbanding sekolah-sekolah kebangsaan. Hal inilah yang membuatkan pakar-pakar
bahasa Melayu terutamanya bimbang. Jika pihak kerajaan tidak menguatkuasakan
satu peraturan yang mewajibkan setiap pekerja yang diambil perlu mahir
berbahasa Melayu maka bahasa Melayu akan semakin pupus ditelan zaman ataupun
sekadar menjadi syarat untuk lulus dalam peperiksaan. Oleh itu, pihak kerajaan
dengan kerjasama pakar-pakar bahasa Melayu perlu merancang satu pelan
menyeluruh dalam jangka masa panjang untuk memastikan bahasa Melayu kekal
menjadi asas untuk memperoleh sesuatu pekerjaan.
Kesimpulannya,
kecintaan terhadap bahasa Melayu dapat dipupuk sekiranya semua pihak berganding
bahu untuk menyemainya. Bahasa Melayu sewajarnya diamalkan oleh seluruh
masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Jadikanlah bahasa Melayu
itu sebagai bahasa perpaduan. Aspirasi slogan 1 Malaysia tidak akan menjadi
kenyataan sekiranya masyarakat sendiri mengabaikan penguasaan bahasa Melayu.
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan di dalam ucapan terakhirnya sebelum
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu Melayu Mudah Lupa. Apakah yang
beliau maksudkan? Sebenarnya, orang Melayu itu sendiri sudah lupa akan
ketamadunan budaya bangsanya. Mengejar arus kemodenan tidak boleh dijadikan
alasan bahawa bahasa itu perlu dilupakan. Justeru itu, ambillah iktibar. Jika
bangsa Melayu sendiri malu untuk bertutur bahasa Melayu, adakah bangsa lain
akan mengiktirafnya sebagai bahasa yang berdaulat? Tepuk dada, tanyalah selera.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semoga bahasa Melayu kekal sebagai
bahasa yang berdaulat. Hidup bahasa, hidup bangsa!
(1268
patah perkataan)
p/s: Alhamdulillah, aku berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Menulis Esei peringkat sekolah bersempena dengan Minggu Bahasa. Biarpun hadiahnya tidak seberapa, namun aku tetap bersyukur kerana aku menulis atas usaha aku sendiri. Esei aku mungkin tidak sebaik mereka yang berada di sekolah berprestasi tinggi. Aku hanya insan biasa yang menulis sekadar suka-suka. Lagipun, aku menyertai pertangindan tersebut atas pemintaan guru bahasa Melayu aku sendiri. Untuk pengetahuan semua, pertandingan ini diadakan sekitar bulan Julai. Aku mengizinkan pembaca untuk berkongsi, "copy", dan sebagainya. Semoga esei di atas mampu untuk memberikan manfaat kepada semua. Sebarang ketidakpuasan hati tentang penggunaan isi tidak wajar dipersoalkan kerana guru aku sendiri tidak menunjukkan sebarang bantahan.