Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Saturday, July 6, 2013

Nasihat (15)


Begitulah kasihnya Allah SWT terhadap diri kita yang kerdil lagi hina ini. Allah SWT tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang benar-benar ikhlas. Jika benar kita beriman kepada Allah, terimalah hakikat bahawa setiap sesuatu yang terjadi, pasti memiliki hikmahnya yang tersendiri. Allah mengambil sesuatu yang kita miliki kerana Allah ingin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan yang pastinya memberikan manfaat pula buat diri kita.
Firman Allah SWT menerusi Surah al-Baqarah, ayat 216:

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Kadangkala, Allah memberikan nikmat kepada kita sebagai satu ujian sama ada kita semakin mensyukuri nikmat yang dianugerahkan ataupun semakin kufur.

Firman Allah SWT menerusi Surah al-Ankabut, ayat 2:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Usahlah bersedih kerana menjadi seorang yang miskin - biar miskin harta, jangan sesekali miskin iman dan taqwa. Teruslah beribadah kepadaNya, berusaha sedaya termampu dan mempertingkat tawakal kepadaNya. InsyaAllah, segala hajat yang kita dambakan selama ini akan dapat direalisasikan. Yakinlah bahawa Allah Maha Pemberi Kurnia.