Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Monday, May 27, 2013

Nasihat (14)




Sesungguhnya, Allah Maha Melihat. Allah SWT melihat setiap perbuatan yang kita lakukan sama ada yang dilaksanakan secara terbuka mahupun yang tersembunyi. Sebelum melakukan sesuatu perkara, perkara paling utama yang perlu kita sematkan ke dalam jiwa; bahawa kita akan kembali kepadaNya suatu hari nanti. Kita akan berhadapan dengan Allah SWT pada Hari Mahsyar kelak. Persoalannya, adakah kita mampu untuk menjangkakan waktu pemergian kita? Adakah kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan yang khusnul khotimah ataupun sebaliknya? Adakan amalan kita benar-benar mencukupi yang memungkinkan diri kita ini layak untuk memasuki syurga Allah? Jom kita hitung amalan diri sebelum Allah menghitung amalan kita. :)

Thursday, May 23, 2013

Pesanan (14)


Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Bertaubatlah kepadaNya dan mohonlah petunjuk daripada-Nya. Sesungguhnya, kita hamba yang lemah. Kita ialah hamba yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Namun begitu, itu bukanlah bermakna bahawa kita sememangnya sudah tiada lagi harapan untuk bertaubat. InsyaAllah, peluang masih ada. Peluang untuk bertaubat masih terbuka luas jika kita terus istiqamah mencari pengampunanNya. Mintalah bimbingan teman di sekeliling bagi memperbaik diri yang sudah dilumpuri dosa. Rebutlah peluang untuk bertaubat sebelum peluang tersebut hilang. Kita bernafas di atas muka bumi Allah ini tidak lama. Mohonlah pengampunanNya sebelum ajal menjelang. InsyaAllah, kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang bertakwa.

Tuesday, April 30, 2013

Doaku (3)



Cahaya. Hidayah. Engkaulah yang menerangi hatiku yang berada dalam kegelapan. Syiar agamaMu telah berjaya memecahkan kegelapan yang selama ini menutupi pandanganku. Aku pohon Ya Allah, Engkau tunjukkanlah jalan yang lurus. Ya Allah, hanya kepadaMu kami memohon petunjuk saat kami terkapai-kapai dalam arus lautan dunia ini. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus. Semoga kami tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang diredhaiMu, ya Allah. Amin.

Sunday, April 28, 2013

Doaku (2)


Ya Allah, aku memohon keampunan daripadaMu. Aku benar-benar memohon keampunan daripadaMu atas kegagalan aku untuk melaksanakan janji yang pernah aku lafazkan di hadapanMu suatu ketika dahulu. Aku insan yang lemah, wahai Pemilik Langit dan Bumi. Bantulah hambaMu ini, ya Allah. Bukakanlah pintu hatiku ini untuk menerima taufik dan hidayah daripadaMu. Amin ya Rabbal Alamin.

Doaku (1)


Benar sekali ungkapan di atas. Aku cumalah insan yang lemah. Aku tidak memiliki sebarang kelebihan. Segala-galanya nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wataala. Aku bergantung kepada-Nya. Kadangkala, aku terleka dengan dunia. Aku sering melakukan kesilapan dan kebiasaannya aku sendiri tidak menyedarinya. Janganlah dikau persalahkan agama Islam kerana aku. Islam agama yang cukup sempurna namun aku bukanlah seorang hamba yang sempurna. Salahkan aku kerana lekanya aku dengan dunia. Kurangnya ilmu agama dalam diri menjadi punca aku terus melakukan kesilapan. Ampunilah aku, Ya Allah. Ampunilah aku, Ya Allah, Ampunilah aku, Ya Allah. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Jalan yang menuju keredhaan Engkau, Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Monday, April 15, 2013

Luahan Perasaan (1)

Aku telah meluahkan segala-galanya kepada ustazah. Aku yakin ustazah mengerti. Aku harapkan jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran aku. Ustazah seorang tenaga pengajar. Aku yakin dia boleh menyelami luahan perasaan hati aku biarpun hitungan hari makin sedikit untuk dirinya pergi. Namun, aku cuma mencari jawapan untuk menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Cuma berikan jawapan. InsyaAllah, aku akan memikirkan tindakan selanjutnya. Kisah ini berkenaan seorang sahabat aku. Perkenalan kami bermula dengan ucapan "Assalamualaikum".

Sunday, March 31, 2013

Pesanan (8)

 
 
Jangan berputus asa. Orang yang mudah berputus asa ialah orang yang rugi. Dia seolah-olah tidak tahu bahawa Allah Subhanahu Wataala sentiasa merencanakan sesuatu yang baik buat dirinya walaupun dia bersangka bahawa segala yang berlaku ke atas dirinya buruk-buruk belaka. Silap. Dari situlah, Allah ingin menguji diri kita sama ada iman kita semakin mantap ataupun semakin kendur hanya kerana ujian sebegitu kecil. Jangan berputus harapan. Kita tidak tahu perkara yang akan berlaku pada hari esok. Mungkin, ada perkara yang baik akan berlaku pada keesokan harinya. Setelah berusaha, bertawakal. Saya ingat pesan seorang ustaz yang menjadi pengacara rancangan Halaqah, iaitu Ustaz Badlishah, katanya ingat DUIT. DUIT itu bermaksud doa, usaha, ikthiar dan tawakal. Amalkan dalam hidup kita seharian. InsyaAllah, kita bahagia dunia dan akhirat.