Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Wednesday, March 26, 2014

Begitulah..(3)


Ya, 529 orang akan dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan Mesir tanpa sebarang sebab yang munasabah. Namun begitu, kelihatannya mereka langsung tidak gentar ataupun berasa gerun setelah menerima hukuman tersebut. Sebaliknya, senyuman dihadiahkan ketika gambar mereka diambil. Barangkali, inilah hikmahnya orang yang berusaha untuk menegakkan Islam. Mereka sentiasa tenang dan yakin bahawa Allah selalu di sisi mereka. Semoga Allah meredhai perjuangan mereka, InsyaAllah. Amin.

Saturday, March 22, 2014

#DoaBuatMH370





Usah berputus asa. Berdoalah, moga-moga dengan sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang maka, rahmatNya tiba untuk kita semua. Sesungguhnya, daripada Allah kita datang dan hanya kepadaNya kita akan kembali.

Dalam pada itu, aku juga memohon kepada seluruh media tempatan dan mana-mana jua pihak agar menghentikan terus segala siaran yang karut-karut buat masa ini. Jika boleh, hentikan terus segala bentuk siaran yang melibatkan maksiat dan boleh mengundang kemurkaan Allah. Cubalah memahami perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun begitu, sebagai seorang manusia biasa, hanya kepada Allah jualah segalanya disandarkan kerana Allah memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu.



Wednesday, January 29, 2014

Penyelesaian Satu Konflik



Hati kita selalu terdetik; siapakah agaknya yang mampu untuk menyahkan rasa gelisah yang bertandang di pintu hati aku ini? Aku terlalu rungsing, ya Allah. Ya, kita sering menyatakan yang sedemikian. Namun begitu, pernahkah kita terfikir bahawa siapakah agaknya yang mencipta hati kita ini? Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Hanya Allah yang mampu untuk meleraikan segala kekusutan yang hadir di dalam hidup kita. Siapakah agaknya yang menghadirkan rasa gembira dan duka di dalam hidup kita? Pastinya Allah. Mengapakah demikian? Sebenarnya, kasih Allah terhadap kita terlalu dalam. Cuma kita sahaja yang gagal untuk merasai betapa manisnya cinta Allah. Justeru itu, Allah tidak akan mendatangkan sesuatu perkara kepada kita melainkan untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita terhadapNya. Allah ingin menguji kita sama ada kita bersyukur tatkala diri ditimpa ujian ataupun sebaliknya. Ya Allah, berilah kami petunjuk untuk menggapai redhaMu di dunia dan di akhirat. Teguhkan iman kami agar kami sentiasa berada di bawah lembayung rahmatMu. Amin, ya Rabbal Alamin.


*Aku menulis artikel ini tatkala diri aku menghadapi sedikit konflik yang melibatkan masa depan aku. Aku telahpun berusaha untuk meminta pendapat dan pandangan daripada orang di sekeliling aku namun, kebanyakan mereka gagal untuk memberikan petunjuk yang jelas kepada aku. Aku akhirnya sedar bahawa hanya Allah yang mampu menunjukkan kepada aku jalan yang lurus. Alhamdulillah, konflik itu telah berjaya aku selesaikan; berkat petunjuk daripada Allah Taala. Semoga Allah merahmati keputusan aku itu. InsyaAllah.

Wednesday, December 25, 2013

Pokok dan Diri Seorang Mukmin..^^



Akar umbi bagi jiwa seorang Mukmin pastinya akidah. Jika akidah kita mantap, pasti lahiriah kita sentiasa dibatasi dengan syariat Islam. Untuk membuktikan bahawa kita berpegang teguh kepada Allah Subhanahu Wataala, maka kita diwajibkan untuk melaksanakan ibadah asas seperti solat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji jika berkemampuan. Sungguhpun begitu,  jika kita hanya melakukan ibadah asas tanpa diiringi ibadah sunat maka adakah pahala hasil pelaksanaan ibadah asas itu benar-benar mencukupi bagi membolehkan kita untuk menjejakkan kaki ke syurgaNya kelak? Syurga itu satu perkara. Kita hanya akan dapat masuk ke syuga Allah sekiranya Allah melimpahkan rahmatNya buat kita. Paling utama sekali ialah redha Allah. Adakah ibadah asas kita benar-benar sempurna sehingga kita merasakan bahawa ibadah sunat tidak perlu dilakukan? Hanya Allah yang Mengetahui. Sebagai hamba Allah yang kerdil, kita sepatutnya merasakan bahawa amalan dan bekalan kita masih belum cukup untuk menghadapNya kelak. Justeru itu, ibadah sunat dilaksanakan bagi memperbaik serba sedikit kekurangan yang terdapat dalam ibadah asas dan meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah, Tuhan Semesta Alam. Apabila akidah sudah mantap, ibadah asas dan ibadah sunat juga sudah dilaksanakan secara istiqamah maka InsyaAllah akhlak kita juga akan menjadi baik. Buah itu adalah hasil istiqamah kita dalam menjadi hamba Allah yang benar-benar taat. Buah manis bukan? Itulah akhlak. Contohilah peribadi dan akhlak yang ditonjolkan oleh junjungan jiwa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Hasilnya ialah ramai Musyrikin Mekah yang memeluk Islam kerana begitu kagum dengan kecantikan budi pekerti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. SubhanAllah. Aku amat merinduinya. :)

Thursday, December 19, 2013

Tahniah Semua! ^^


 
 
Alhamdulillah, terlebih dahulu, aku ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon PMR 2013 yang telah berjaya merangkul kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut. Berdasarkan laporan berita, terdapat peningkatan berskala kecil dalam peperiksaan tersebut. Aku benar-benar berbangga dengan kalian. Sungguhpun begitu, jangan kalian semua lupa bahawa Allah jualah yang Maha Pemberi Kurnia. Adakah layak bagi kita untuk bermegah-megah dengan semua yang telah kita miliki sedangkan semua itu nanti akan kembali kepadaNya kelak? Kejayaan hanyalah pinjaman Allah yang sementara. Usah lupa diri dan berasa takbur bahawa diri sudah cukup berilmu. Segala puji pujian perlulah kembali kepada Allah. Aku juga berbangga melihat rakan-rakan seusia kalian yang tidak berjaya dalam peperiksaan PMR. Bangga? Ya, aku berbangga dengan kalian kerana kalian masih tabah dan senantiasa meletakkan kepercayaan kepada Allah, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Usah khuatir. Jika kamu sudah berusaha, pasti kejayaan akan menempa diri kamu. Yakinlah kepada Allah. Usah bersedih kerana perjalanan masih jauh. SPM sedang menanti kamu saat kamu selesai sahaja menduduki kertas terakhir dalam peperiksaan PMR. Amanah dan tanggungjawab masih terpikul di bahu. Tingkatkan usaha bagi menghadapinya kelak. Allah memberikan kita mata di hadapan agar kita terus memandang ke hadapan. Belajarlah untuk menerima hakikat akan tiap-tiap sesuatu yang telah berlaku jika kita ingin menjadi insan yang bahagia. Begitu ramai insan di luar sana yang pernah menghadapi kegagalan namun kerana sikap yang tidak kenal erti putus asa, akhirnya mereka berjaya juga. MasyaAllah. Sesungguhnya, Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang benar-benar ikhlas. :)


Monday, November 25, 2013

Gaza Terancam



Mengharungi samudera kehidupan
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan
 
Setiap tetes peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan
 
Allah Ghoyatuna
Arrasul Qudwatuna
Al-Quran Dusturuna
Al-Jihadu Sabiluna
 
Almautu Fisabilillah
Asma Amanina
 
Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
 
Mati di jalan Allah adalah
Cita-cita kami tertinggi
 
 
Ulang semula
 
Mengharungi samudera kehidupan
Kita ibarat pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan
 
Setiap tetes peluh dan darah
Tidak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan
 
Allah Ghoyatuna
Arrasul Qudwatuna
Al-Quran Dusturuna
Al-Jihadu Sabiluna
 
Almautu Fisabilillah
Asma Amanina
 
Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
 
Mati di jalan Allah adalah
Cita-cita kami tertinggi
Cita-cita kami tertinggi.







Aku mula berkenan dengan lagu ini setelah mengikuti Kem Dakwah Bil Hal yang diadakan di Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Mungkin rentaknya tidak sesedap rentak yang dihasilkan oleh kumpulan Hijjaz, UNIC mahupun Inteam. Namun begitu, pengisiannya cukup cantik. Aku juga telah meluangkan sedikit masa untuk berkunjung ke laman salah seorang rakan yang aku temu di kem dakwah tersebut. Alhamdulillah, beliau juga sudah memuatkan lagu ini di lamannya. Aku benar-benar berharap agar lagu sebegini dapat membangkitkan kesedaran dalam jiwa remaja-remaja Islam. Aku akui, umat Islam pada hari ini sangat lemah. Aku sendiri tidak mempunyai ilmu agama yang cukup bagi menyebarkan dakwah seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan aku yang lain. Sungguhpun begitu, adakah kita hanya boleh berdiam diri tatkala kehidupan umat Islam di bumi Gaza sedang diancam? Perhatikan madah di bawah:

"Lakukanlah kebaikan walau sekecil apa pun kerana kamu  tidak tahu kebaikan mana yang menghantarkan kamu menuju syurga".

Renung-renungkan. Semoga umat Islam di bumi Palestin berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala. :)

Saturday, November 23, 2013

Begerak Merapati Allah SWT



Setiap manusia sememangnya tidak mampu untuk lari daripada ditimpa musibah. Allah SWT menghadirkan ujian kepada hambaNya yang terpilih kerana Allah SWT ingin menguji kedudukan iman para hambaNya. Seandainya kita sedang menghadapi kesulitan, maka kepada Allah jualah tempat kita meletakkan segala bentuk pergantungan.

Firman Allah SWT:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

(Surah Al-Baqarah, ayat 286).

Firman Allah SWT lagi menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 214:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Justeru itu, hanya kepadaNya kita wajar untuk kembali sujud, memohon dengan sepenuh jiwa agar diberikan penyelesaian kepada sebarang kesukaran yang dihadapi. Lihat! Itulah tandanya Allah SWT sangat menyayangi kita. Allah SWT ingin sekali mendengar rintihan dan tangisan kita pada malam hari, bersujud dengan penuh rasa kehambaan diringi dengan linangan air mata tanpa henti semata-mata kerana dambakan syafaatNya. Satu pertemuan tulus ikhlas antara diri yang kerdil ini dengan Allah SWT berupaya untuk mengubah perkara yang kita rasakan mustahil untuk diubah. Sesungguhnya kepunyaan Allah SWT jualah segala kerajaan di langit dan di bumi.