Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Saturday, November 23, 2013

Begerak Merapati Allah SWT



Setiap manusia sememangnya tidak mampu untuk lari daripada ditimpa musibah. Allah SWT menghadirkan ujian kepada hambaNya yang terpilih kerana Allah SWT ingin menguji kedudukan iman para hambaNya. Seandainya kita sedang menghadapi kesulitan, maka kepada Allah jualah tempat kita meletakkan segala bentuk pergantungan.

Firman Allah SWT:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

(Surah Al-Baqarah, ayat 286).

Firman Allah SWT lagi menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 214:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Justeru itu, hanya kepadaNya kita wajar untuk kembali sujud, memohon dengan sepenuh jiwa agar diberikan penyelesaian kepada sebarang kesukaran yang dihadapi. Lihat! Itulah tandanya Allah SWT sangat menyayangi kita. Allah SWT ingin sekali mendengar rintihan dan tangisan kita pada malam hari, bersujud dengan penuh rasa kehambaan diringi dengan linangan air mata tanpa henti semata-mata kerana dambakan syafaatNya. Satu pertemuan tulus ikhlas antara diri yang kerdil ini dengan Allah SWT berupaya untuk mengubah perkara yang kita rasakan mustahil untuk diubah. Sesungguhnya kepunyaan Allah SWT jualah segala kerajaan di langit dan di bumi.