Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Saturday, November 23, 2013

Ikhlas Asas Penerimaan Amal


Ayuh bermuhasabah. Adakalanya, kita sering berkira untuk melaksanakan sesuatu amal kebaikan yang yang kelihatan begitu kecil di sisi manusia. Sungguhpun begitu, kita sendiri tidak dapat mengadakan sebarang jaminan bahawa segala amal kebaikan besar yang kita lakukan selama hari ini benar-benar dipandang Allah SWT. Dalam Islam, keikhlasan dalam beramal semata-mata kerana Allah SWT diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Jika kita beramal dalam keadaan diri masih mengidamkan pujian dan sanjungan manusia, maka akan tercabutlah kelazatan dan kemanisan ibadah itu sendiri. Sesungguhnya dengan bersedekah, memimpin orang tua melintas jalan, memberikan tempat duduk kepada mereka yang lebih memerlukan, memberikan salam dan memelihara adab ketika di dalam rumah Allah SWT, memelihara kebersihan alam sekitar seperti mengutip sampah-sampah kecil yang bertaburan di atas lantai, menziarahi fulan atau fulanah yang terlantar sakit di hospital dan sebagainya; menjanjikan terlalu banyak ganjaran pahala untuk diraih. Oleh itu, pokok pangkalnya bermula daripada diri kita sendiri.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Zalzalah, ayat 7:

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Ra'd, ayat 29:

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Ankabut, ayat 58:

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh.

Kesimpulannya, seandainya kita benar-benar dahagakan kasih sayang Allah, maka kerjakanlah walau sekecil manapun amal kebaikan; asalkan yang boleh menghantarkan kita ke syurgaNya kelak. Yakinlah kepada Allah.