Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Saturday, November 23, 2013

Kewajipan Menutup Aurat



Bertudung LABUH tidak semestinya USTAZAH. Malangnya, perpektif sebahagian besar masyarakat Islam khususnya di Malaysia seringkali bercanggah dengan konsep sebenar dalam Islam. Apabila seseorang wanita itu mengenakan tudung labuh, maka timbul berbagai-bagai bentuk gelaran yang bertujuan untuk memperlekehkan perintah Allah SWT. Situasi ini bertambah buruk apabila seseorang itu, yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya, tergamak pula melemparkan tuduhan kepada wanita yang melabuhkan tudungnya sebagai 'tunjuk alim', 'bajet bagus' dan sebagainya. Sesungguhnya, sindiran dan perlian ini oleh individu yang jahil ini amatlah berat dosanya di sisi Allah SWT kerana tujuan asal turunnya perintah ini adalah untuk maslahat keseluruhan umat manusia.

Firman Allah SWT menerusi Surah An-Nur, ayat 31:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang auratperempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Arahan Allah SWT mengenai aurat merupakan satu keutamaan yang perlu diketengahkan dan dilaksanakan dengan sempurna. Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Ankabut, ayat 18:

"Dan jika kamu terus-menerus mendustakan (ajaran agama Allah yang aku sampaikan kepada kamu), maka sesungguhnya umat-umat yang sebelum kamu telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya); dan (ingatlah) tugas Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata".

Sesungguhnya, hanya Allah SWT sahaja yang memiliki dan paling berhak untuk menyandang gelaran Ar-Rahim (Maha Penyayang). Allah SWT turut Maha Mengetahui akan kelemahan para hambaNya. Segala perintah yang diturunkan kepada sekalian makhluk diiringi dengan perasaan kasih yang mendalam; kerana tidak mahu kehidupan makluknya merana di atas muka bumi. Setelah itu, daripada kalangan manusia, dilantik pula seorang Rasul yang bertujuan untuk menyampaikan segala syariat Allah SWT dan sebagai role-model kepada umat manusia dalam mengharungi kehidupan sehari-hari. Sekalipun kita enggan mematuhi perintahNya, hal itu tidak sekali-kali mendatangkan kerugian kepada Allah SWT. Kesimpulannya, jagalah hak Allah, nescaya Allah pasti menjaga kita.