Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Thursday, September 30, 2010

Langit

Aku lihat awan-awan yang berarak laju di langit. Dan ia membuatkan hatiku berasa gelisah. Risau dengan keadaan ayahku yang akan dibedah tidak lama lagi di bahagian kakinya akibat penyakit kencing manis durjana. Aku sedar yang guru-guruku sentiasa melihat keadann diriku yang selalu murung dan bermasam muka. Namun begitu, aku perlu menunjukkan wajah yang ceria supaya aku tidak disoal oleh guru-guruku mengenai masalah yang melanda diriku. Salah seorang rakan karibku, Ali sedar akan sikapku yang sedikit berubah dan membuatkan hatinya tertarik untuk menanyakan masalah yang aku hadapi. Dia cuba memujuk aku untuk menceritakan masalah yang membuatkan hatiku gusar. Kemudian, aku pandang ke langit. Ku tatapnya lama-lama. Aku cuba memikirkan ayat yang sesuai untuk aku luahkan perasaan yang terpendam di hati. Pabila ku lihat awan yang berarak laju itu, hatiku berasa pilu. Aku berasakan yang diriku ini semakin dekat dengan Yang Maha Esa. Dan aku berasakan bahawa ayahku akan selamat dibedah. Setelah itu, aku pun meluahkan perasaan gusar aku itu kepada rakan karibku itu. Sedang aku bercerita, air mataku menitis daripada kelopak mataku. Ku mendongakkan kepalaku ke atas supaya Ali tidak dapat melihat tangisanku walaupun aku sedar yang dia telah mengetahui segala-galanya. Ketika itu, aku berdoa di dalam hatiku ini agar Tuhan dapat menyelamatkan ayahku yang akan dibedah tidak lama lagi. Setelah mengetahui cerita yang sebenarnya, Ali menasihati aku supaya tidak berasa gusar. Dia juga memberikan kata-kata semangat kepadaku. Tiba-tiba loceng masa rehat tamat berbunyi. Ali mengajak aku pulang ke kelas dan menasihati aku supaya tidak memikirkan sangat akan hal itu kerana dia memberitahu aku yang kejayaan seorang anak lebih bermakna bagi ibu bapa berbanding menjaga mereka. Ketika itulah semangat untuk aku belajar timbul. Ketika aku sedang berjalan pulang ke kelas, aku sempat memandang awan yang cerah di langit berarak laju. Aku merasakan Tuhan akan dapat menyelamatkan ayahku. Kini, barulah aku sedar bahawa langit itu sungguh berguna kepada manusia. Selain ia boleh menenangkan fikiran, ia juga boleh membuatkan diri seseorang manusia itu mendekati Tuhan dengan lebih mendalam lagi. Setelah aku pulang dari sekolah, aku terus berjalan kaki pergi ke hospital di mana ayahku telah dibedah. Alangkah syukurnya aku kerana ayahku selamat dibedah. Aku mengucapkan terima kasih kepada doktor bedah itu. Namun, doktor bedah itu memberitahu yang aku sepatutnya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memberikan peluang kepada ayah aku untuk hidup lagi menjadi hambanya di muka bumi ini. Setelah itu, aku pun berjalan ke tingkap yang berdekatan dengan katil ayahku lalu kupandang ke langit. Aku tersenyum sendirian. Terima Kasih Pencipta Langit Dan Bumi.

Monday, September 27, 2010

Kasih Sayang

Saya mempunyai seorang kawan. Namanya Fadzil. Dia dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berada. Sungguhpun begitu, dia tidak pernah menunjuk-nunjuk kekayaan dirinya dan dia selalu memberi sedekah kepada anak-anak yatim. Selain itu, Fadzil juga seorang murid yang cerdik di sekolah saya. Dia sentiasa mendapat 5A dalam setiap ujian yang diadakan. Dia menjadi bahan rujukan kepada murid-murid lain. Namun, saya selalu melihat dia termenung sendirian dan bermurung. Apabila saya tanyakan hal yang sebenarnya berlaku kepada dia, dia tidak menjawab pertanyaan saya itu. Guru-guru juga berasa risau melihat sikapnya yang berubah semenjak ini. Perperiksaan UPSR kian menjelang.
Ibu angkatnya iaitu Cikgu Ruhana cuba memujuknya dan menanyakan masalah yang melanda dirinya itu dengan lembut. Seketika itulah air matanya bergenang di kelopak matanya. Dia memberitahu Cikgu Ruhana yang ibu bapanya telah ke luar negara semenjak dia berusia tujuh tahun lagi, lebih kurang lima bulan selepas ibu bapanya mendaftarkan nama dirinya sebagai pelajar di sekolah saya itu. Setelah Fadzil mengetahui nombor telefon bimbit ibu bapanya, dia pun menelefon mereka. Namun, mereka tidak pun menjawab panggilannya itu. Berkali-kali dicubanya namun tidak berhasil. Kini, tinggallah Fadzil sendirian tanpa sesiapa disisinya untuk membimbingnya ke jalan kebenaran lebih-lebih lagi dia itu anak tunggal. Dia memberitahu Cikgu Ruhana yang dia rindukan kasih sayang daripada ibu bapanya. Dia sentiasa melihat ibu bapa murid-murid lain bermain dan bergembira bersama anak mereka. Dia juga ingin merasai pengalaman bersama ibu bapa seperti itu. Setelah itu, air mata Cikgu Ruhana mengalir deras dari kelopak matanya. Beliau tidak menyangka yang ibu bapa Fadzil sanggup meninggalkan dia sedemikian rupa. Kebetulan beberapa orang guru berada di situ. Lalu, Cikgu Ruhana meminta pendapat daripada Cikgu Azlina dan Cikgu Noni untuk menjadikan Fadzil sebagai anak angkatnya. Dua orang guru itu bersetuju dengan pendapat Cikgu Ruhana. Kini, Fadzil tinggal bersama ibu bapa angkatnya tinggal di sebuah rumah banglo tiga tingkat di Rawang yang dibeli oleh ayah kandung Fadzil satu ketika dahulu. Dapatlah Fadzil akan kasih sayang yang selama ini diidamkannya seperti orang lain. Apabila keputusan UPSR diumumkan, Fadzil berjaya mendapat 5A dalam ujian tersebut. Ibu bapa angkatnya mengucapkan tahniah kepadanya. Saya mengucapkan syabas kepadanya kerana berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Kini, dia telah mempunyai hala tujunya sendiri. Begitu juga dengan saya. Walau di mana sahaja saya berada, pasti saya akan teringatkan rakan karib saya iaitu Fadzil. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya.

Sunday, September 26, 2010

Janji

Saya mempunyai seorang guru. Namanya Cikgu Ali. Beliau seorang guru yang rajin, peramah dan bersemangat tinggi. Saya selalu menegurnya setiap kali terserempak dengannya di mana sahaja. Umurnya kini lebih kurang 53 tahun. Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Beliau senantiasa memberikan latihan pemahaman kepada kami supaya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan kami. Namun begitu, perperiksaan penting bagi saya dan rakan-rakan hampir tiba. Perperiksaan itu ialah UPSR. Saya telah berusaha gigih dengan cara mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan sebanyak mungkin. Ini kerana saya telah berjanji dengan Cikgu Ali dan guru-guru yang lain untuk mendapat 5A dalam UPSR. Dua hari sebelum perperiksaan itu, saya dikejutkan dengan suatu berita yang menggemparkan satu kawasan sekolah. Cikgu Ali telah meninggal dunia. Beliau meninggal dunia disebabkan oleh penyakit lemah jantungnya yang menyerangnya pada malam kejadian. Ketika itulah kesedihan dan kecewaan mula timbul di jiwa. Saya berasa tidak bersemangat untuk menjawab kertas ujian tersebut. Walaupun saya sedar bahawa perperiksaan UPSR kian menjelang namun, kesedihan itu masih lagi terpahat di jiwa. Namun begitu, kesemua guru-guruku memberitahuku bahawa saya telah berjanji kepada Cikgu Ali untuk mendapat 5A dalam UPSR. Barulah saya teringat akan janji yang telah saya lafazkan itu. Ketika itu saya mula bersemangat untuk menjawab kertas soalan UPSR itu. Apabila tiba keputusan UPSR diumumkan, saya berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Saya berasa sangat gembira kerana dapat mengotakan janji saya kepada Cikgu Ali. Semoga Cikgu Ali ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Sunday, September 19, 2010

Peluang Terakhir

Hidup ini tidak pernah memberi peluang kepada kita.
Peluang itu bergantung kepada keupayaan ataupun kemampuan diri kita sendiri.Berusaha gigih merupakan tangga kejayaan bagi seorang murid.
Cemerlang dalam peperiksaan merupakan perkara yang membanggakan hati para guru dan ibu bapa.
Dan itu merupakan satu peluang untuk kita meneroka alam ini dengan lebih mendalam lagi setelah kita berjaya.
Bersyukurlah terhadap perkara yang telah kita capai itu.
Peluang itu merupakan peluang yang terakhir.
Setelah berjaya, jangan lupakan pula jasa dan pengorbanan ibu bapa dan para guru kita. =)

Insan

Dalam ketidaktentuan hala mencari masa depan, adalah insan datang membantu. Insan itu merupakan seorang guru. Beliau telah banyak mengajar kami selaku murid-murid tentang erti kehidupan yang sebenarnya.Beliau selalu memberikan nasihat dan dorongan  kepada kami supaya belajar bersungguh-sungguh dan banyak beribadat. Sungguhpun keputusan yang kami dapat setiap kali selepas ujian diadakan rendah, namun guru itu masih lagi bersemangat untuk terus mengajar dan mendidik kami supaya kami menjadi seorang murid yang cemerlang. Semangatnya yang kental itu menjadikan kami bersemangat untuk belajar dan terus berusaha gigih. Kini, aku telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dan tidak lama lagi aku akan mengambil ijazah sarjana muda dalam bidang sains asas tani di sebuah iniversiti terkenal di United Kingdom (UK). Kendatipun  aku telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, namun guruku masih lagi berada di sekolah lamaku ketika di sekolah rendah dan sekolah menengah. Insan itu masih lagi mencurahkan baktinya kepada murid-murid di sekolah itu dengan cara mengajar mereka dan mendidik dengan sepenuh keikhlasan hati. Aku berbangga kerana dikurniakan seorang guru yang berdedikasi dan bersemangat seperti itu. Aku berjanji bahawa aku akan belajar bersungguh-sungguh demi membanggakan hati guruku itu yang telah banyak berkorban masa dan waktu bersama keluarga kerana ingin melihat kejayaanku di kemudian hari dan ibu bapaku yang baik dan selalu memberikan aku keperluan asas aku untuk aku ke sekolah sewaktu kecil dahulu.

Thursday, September 16, 2010

Hari Penentuan

Hari penentuan bagi murid-murid Tahun 6 bakal tiba. Pada hari itu, semua murid-murid tahun enam akan menghadapi satu ujian yang akan menentukan destinasi mereka yang seterusnya. Ibu bapa pula mendoakan kejayaan anaknya pada hari itu manakala anaknya memohon restu daripada ibu bapa serta para guru di sekolah supaya didoakan kejayaannya dalam peperiksaan tersebut. Ketika berada di dewan peperiksaan, perasaan berdebar-debar datang secara tiba-tiba. Jantung berdegup kencang. Risau akan soalan yang bakal keluar sebentar lagi. Susah atau senang. Namun, bagi yang sudah bersedia menghadapi ujian tersebut, mereka hanya kelihatan tenang sahaja. Begitulah reaksi mereka. Begitu juga dengan saya nanti. Pada minggu hadapan, saya berdoa kepada Tuhan agar dibukakan pintu hati saya supaya dapat menjawab soalan itu dengan mudah setiap kali memasuki dewan peperiksaan. Saya juga berharap agar keluarga serta para guru di sekolah mendoakan kejayaan saya nanti. Harapan saya adalah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR supaya dapat membanggakan hati keluarga dan para guru di sekolah. Insyallah. =)

Noktah

Perangai seseorang manusia itu seolah-olah tiada penghujungnya.
Ketamakan jiwa seseorang manusia itu diwarisi sejak turun-temurun.
Mereka tidak mengenali apa itu erti kehidupan seseorang manusia.
Rasa belas kasihan tiada di jiwa masing-masing.
Mereka sanggup menghancurkan ataupun memusnahkan segala hidupan di muka Bumi semata-mata inginkan kemajuan.
Sedangkan terdapat cara yang lebih baik dan sesuai untuk dilakukan.
Namun begitulah, pemikiran manusia masih lagi sempit.
Masih tidak mampu berfikiran terbuka.
Perkara yang dirasakannnya baik dikatakan buruk.
Begitu jua yang sebaliknya.
Setelah itu, mereka akan berbalah sesama sendiri untuk memberikan pendapat mereka yang dirasakan baik.
Akhirnya, dunia ini menjadi tidak aman.
Perperangan berlaku di sana sini.
Kita dijajah akhirnya.
Namun, kita dijajah di alam siber ini.
Dan begitulah seterusnya yang akan berlaku hingga ke generasi yang akan mewarisi kepinpinan negara ini pada masa yang akan datang.
Tiada noktah ataupun pengakhiran bagi hidup seseorang manusia itu sehinggalah ada yang menghentikannya.
Dan orang itu pasti menjadi pemimpin negara ini pada masa yang datang.

Wednesday, September 15, 2010

Melawat Ke Rumah Guru Sekolah Saya

Pada hari Ahad yang lalu, saya dan ibu bapa saya telah melawat ke rumah salah seorang guru saya di sekolah bersempena dengan musim perayaan ini. Setibanya saya di sana, saya terus sahaja menyalam tangannya dan duduk di atas sebuah sofa panjang berdekatan dengan peti televisyen. Sambil menonton drama yang terdapat di kaca televisyen itu, ibu bapa saya bercerita tentang perihal persekolahan saya dengan suami guru itu manakala beliau sedang sibuk menyiapkan makanan untuk kami sekeluarga. Saya dan ibu bapa saya telah makan rendang ayam dan nasi impit. Sedap. Selepas itu, saya juga minum tiga gelas air berkarbonat. Sebelum pulang ke rumah, saya menerima duit raya berjumlah RM 10 daripada guru itu. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Beliau menemani saya dan ibu bapa saya hingga sampai ke lif. Setelah itu, saya pun pulang ke rumah dengan perasaaan yang gembira.