Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Thursday, September 30, 2010

Langit

Aku lihat awan-awan yang berarak laju di langit. Dan ia membuatkan hatiku berasa gelisah. Risau dengan keadaan ayahku yang akan dibedah tidak lama lagi di bahagian kakinya akibat penyakit kencing manis durjana. Aku sedar yang guru-guruku sentiasa melihat keadann diriku yang selalu murung dan bermasam muka. Namun begitu, aku perlu menunjukkan wajah yang ceria supaya aku tidak disoal oleh guru-guruku mengenai masalah yang melanda diriku. Salah seorang rakan karibku, Ali sedar akan sikapku yang sedikit berubah dan membuatkan hatinya tertarik untuk menanyakan masalah yang aku hadapi. Dia cuba memujuk aku untuk menceritakan masalah yang membuatkan hatiku gusar. Kemudian, aku pandang ke langit. Ku tatapnya lama-lama. Aku cuba memikirkan ayat yang sesuai untuk aku luahkan perasaan yang terpendam di hati. Pabila ku lihat awan yang berarak laju itu, hatiku berasa pilu. Aku berasakan yang diriku ini semakin dekat dengan Yang Maha Esa. Dan aku berasakan bahawa ayahku akan selamat dibedah. Setelah itu, aku pun meluahkan perasaan gusar aku itu kepada rakan karibku itu. Sedang aku bercerita, air mataku menitis daripada kelopak mataku. Ku mendongakkan kepalaku ke atas supaya Ali tidak dapat melihat tangisanku walaupun aku sedar yang dia telah mengetahui segala-galanya. Ketika itu, aku berdoa di dalam hatiku ini agar Tuhan dapat menyelamatkan ayahku yang akan dibedah tidak lama lagi. Setelah mengetahui cerita yang sebenarnya, Ali menasihati aku supaya tidak berasa gusar. Dia juga memberikan kata-kata semangat kepadaku. Tiba-tiba loceng masa rehat tamat berbunyi. Ali mengajak aku pulang ke kelas dan menasihati aku supaya tidak memikirkan sangat akan hal itu kerana dia memberitahu aku yang kejayaan seorang anak lebih bermakna bagi ibu bapa berbanding menjaga mereka. Ketika itulah semangat untuk aku belajar timbul. Ketika aku sedang berjalan pulang ke kelas, aku sempat memandang awan yang cerah di langit berarak laju. Aku merasakan Tuhan akan dapat menyelamatkan ayahku. Kini, barulah aku sedar bahawa langit itu sungguh berguna kepada manusia. Selain ia boleh menenangkan fikiran, ia juga boleh membuatkan diri seseorang manusia itu mendekati Tuhan dengan lebih mendalam lagi. Setelah aku pulang dari sekolah, aku terus berjalan kaki pergi ke hospital di mana ayahku telah dibedah. Alangkah syukurnya aku kerana ayahku selamat dibedah. Aku mengucapkan terima kasih kepada doktor bedah itu. Namun, doktor bedah itu memberitahu yang aku sepatutnya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memberikan peluang kepada ayah aku untuk hidup lagi menjadi hambanya di muka bumi ini. Setelah itu, aku pun berjalan ke tingkap yang berdekatan dengan katil ayahku lalu kupandang ke langit. Aku tersenyum sendirian. Terima Kasih Pencipta Langit Dan Bumi.