Pembuka Bicara



Ingatan daripada saya, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada dan luaskan fikiran.

Monday, November 25, 2013

Gaza Terancam



Mengharungi samudera kehidupan
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan
 
Setiap tetes peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan
 
Allah Ghoyatuna
Arrasul Qudwatuna
Al-Quran Dusturuna
Al-Jihadu Sabiluna
 
Almautu Fisabilillah
Asma Amanina
 
Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
 
Mati di jalan Allah adalah
Cita-cita kami tertinggi
 
 
Ulang semula
 
Mengharungi samudera kehidupan
Kita ibarat pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan
 
Setiap tetes peluh dan darah
Tidak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan
 
Allah Ghoyatuna
Arrasul Qudwatuna
Al-Quran Dusturuna
Al-Jihadu Sabiluna
 
Almautu Fisabilillah
Asma Amanina
 
Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
 
Mati di jalan Allah adalah
Cita-cita kami tertinggi
Cita-cita kami tertinggi.







Aku mula berkenan dengan lagu ini setelah mengikuti Kem Dakwah Bil Hal yang diadakan di Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Mungkin rentaknya tidak sesedap rentak yang dihasilkan oleh kumpulan Hijjaz, UNIC mahupun Inteam. Namun begitu, pengisiannya cukup cantik. Aku juga telah meluangkan sedikit masa untuk berkunjung ke laman salah seorang rakan yang aku temu di kem dakwah tersebut. Alhamdulillah, beliau juga sudah memuatkan lagu ini di lamannya. Aku benar-benar berharap agar lagu sebegini dapat membangkitkan kesedaran dalam jiwa remaja-remaja Islam. Aku akui, umat Islam pada hari ini sangat lemah. Aku sendiri tidak mempunyai ilmu agama yang cukup bagi menyebarkan dakwah seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan aku yang lain. Sungguhpun begitu, adakah kita hanya boleh berdiam diri tatkala kehidupan umat Islam di bumi Gaza sedang diancam? Perhatikan madah di bawah:

"Lakukanlah kebaikan walau sekecil apa pun kerana kamu  tidak tahu kebaikan mana yang menghantarkan kamu menuju syurga".

Renung-renungkan. Semoga umat Islam di bumi Palestin berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala. :)

Saturday, November 23, 2013

Begerak Merapati Allah SWT



Setiap manusia sememangnya tidak mampu untuk lari daripada ditimpa musibah. Allah SWT menghadirkan ujian kepada hambaNya yang terpilih kerana Allah SWT ingin menguji kedudukan iman para hambaNya. Seandainya kita sedang menghadapi kesulitan, maka kepada Allah jualah tempat kita meletakkan segala bentuk pergantungan.

Firman Allah SWT:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

(Surah Al-Baqarah, ayat 286).

Firman Allah SWT lagi menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 214:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Justeru itu, hanya kepadaNya kita wajar untuk kembali sujud, memohon dengan sepenuh jiwa agar diberikan penyelesaian kepada sebarang kesukaran yang dihadapi. Lihat! Itulah tandanya Allah SWT sangat menyayangi kita. Allah SWT ingin sekali mendengar rintihan dan tangisan kita pada malam hari, bersujud dengan penuh rasa kehambaan diringi dengan linangan air mata tanpa henti semata-mata kerana dambakan syafaatNya. Satu pertemuan tulus ikhlas antara diri yang kerdil ini dengan Allah SWT berupaya untuk mengubah perkara yang kita rasakan mustahil untuk diubah. Sesungguhnya kepunyaan Allah SWT jualah segala kerajaan di langit dan di bumi.

Ikhlas Asas Penerimaan Amal


Ayuh bermuhasabah. Adakalanya, kita sering berkira untuk melaksanakan sesuatu amal kebaikan yang yang kelihatan begitu kecil di sisi manusia. Sungguhpun begitu, kita sendiri tidak dapat mengadakan sebarang jaminan bahawa segala amal kebaikan besar yang kita lakukan selama hari ini benar-benar dipandang Allah SWT. Dalam Islam, keikhlasan dalam beramal semata-mata kerana Allah SWT diletakkan pada kedudukan yang tertinggi. Jika kita beramal dalam keadaan diri masih mengidamkan pujian dan sanjungan manusia, maka akan tercabutlah kelazatan dan kemanisan ibadah itu sendiri. Sesungguhnya dengan bersedekah, memimpin orang tua melintas jalan, memberikan tempat duduk kepada mereka yang lebih memerlukan, memberikan salam dan memelihara adab ketika di dalam rumah Allah SWT, memelihara kebersihan alam sekitar seperti mengutip sampah-sampah kecil yang bertaburan di atas lantai, menziarahi fulan atau fulanah yang terlantar sakit di hospital dan sebagainya; menjanjikan terlalu banyak ganjaran pahala untuk diraih. Oleh itu, pokok pangkalnya bermula daripada diri kita sendiri.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Zalzalah, ayat 7:

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Ra'd, ayat 29:

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Ankabut, ayat 58:

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh.

Kesimpulannya, seandainya kita benar-benar dahagakan kasih sayang Allah, maka kerjakanlah walau sekecil manapun amal kebaikan; asalkan yang boleh menghantarkan kita ke syurgaNya kelak. Yakinlah kepada Allah.

Kewajipan Menutup Aurat



Bertudung LABUH tidak semestinya USTAZAH. Malangnya, perpektif sebahagian besar masyarakat Islam khususnya di Malaysia seringkali bercanggah dengan konsep sebenar dalam Islam. Apabila seseorang wanita itu mengenakan tudung labuh, maka timbul berbagai-bagai bentuk gelaran yang bertujuan untuk memperlekehkan perintah Allah SWT. Situasi ini bertambah buruk apabila seseorang itu, yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya, tergamak pula melemparkan tuduhan kepada wanita yang melabuhkan tudungnya sebagai 'tunjuk alim', 'bajet bagus' dan sebagainya. Sesungguhnya, sindiran dan perlian ini oleh individu yang jahil ini amatlah berat dosanya di sisi Allah SWT kerana tujuan asal turunnya perintah ini adalah untuk maslahat keseluruhan umat manusia.

Firman Allah SWT menerusi Surah An-Nur, ayat 31:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang auratperempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Arahan Allah SWT mengenai aurat merupakan satu keutamaan yang perlu diketengahkan dan dilaksanakan dengan sempurna. Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Ankabut, ayat 18:

"Dan jika kamu terus-menerus mendustakan (ajaran agama Allah yang aku sampaikan kepada kamu), maka sesungguhnya umat-umat yang sebelum kamu telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya); dan (ingatlah) tugas Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata".

Sesungguhnya, hanya Allah SWT sahaja yang memiliki dan paling berhak untuk menyandang gelaran Ar-Rahim (Maha Penyayang). Allah SWT turut Maha Mengetahui akan kelemahan para hambaNya. Segala perintah yang diturunkan kepada sekalian makhluk diiringi dengan perasaan kasih yang mendalam; kerana tidak mahu kehidupan makluknya merana di atas muka bumi. Setelah itu, daripada kalangan manusia, dilantik pula seorang Rasul yang bertujuan untuk menyampaikan segala syariat Allah SWT dan sebagai role-model kepada umat manusia dalam mengharungi kehidupan sehari-hari. Sekalipun kita enggan mematuhi perintahNya, hal itu tidak sekali-kali mendatangkan kerugian kepada Allah SWT. Kesimpulannya, jagalah hak Allah, nescaya Allah pasti menjaga kita.

Wednesday, November 13, 2013

Lirik Lagu: Janji Khalifah - Hijjaz



Ke mana hilang janji dan sumpah setia
Menjadi hamba yang Esa
Walau digoda indah dunia
Mengapa kini hanya tinggal kata-kata
Tenggelam dalam lumpur dosa
Kembalilah
Bernafaslah dalam hela syahadah

Tidak kan jatuh langit menimpa kepala
Jua tak kan retak hamparan bumi yang enak dipijak
Namun cukup sekali seru pemilikNya
Seluruh semesta menyerah

Sesungguhnya di akhir yang nyata
Setiap nyawa kan kembali padaNya
Dihimpun dihitung semua

Semat utuh apa yang diikrar
Tika jasad dihembuskan nyawa
Hanya satu yang disembah Allah

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allah.. Allahuakbar..
Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allah.. Allahuakbar..
Oh Ya Allah~

Tunduk dan pejamkanlah mata
Rasakan getaran kalimahNya
Jadi nadi dalam diri suci

Semat utuh apa yang diikrar
Tika jasad dihembuskan nyawa
Hanya satu yang disembah Allah

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allah.. Allahuakbar..
Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allah.. Allahuakbar..
oh ya allah~

Ke mana hilang janji dan sumpah setia
Menjadi hamba yang Esa
Walau digoda indah dunia
Mengapa kini hanya tinggal kata-kata
Tenggelam dalam lumpur dosa
Kembalilah...
Bernafaslah dalam hela syahadah

Tidak kan jatuh langit menimpa kepala
Jua tak kan retak hamparan bumi yang enak dipijak
Namun cukup sekali seru pemilikNya
Seluruh semesta menyerah


Kadangkala, kita sendiri lupa akan janji yang pernah kita lafazkan saat di hadapan Allah seketika dahulu.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Araf, ayat 172:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang merekadan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Keindahan dunia dan kegagalan diri untuk menjadikan iman sebagai panduan ketika memutuskan sesuatu perkara menyebabkan diri terhumban ke kancah kehinaan. Sungguhpun begitu, kasih sayang dan maghfirah (pengampunan) daripada Allah tetap mengatasi segala-galanya.

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Zumar, ayat 53:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah SWT akan senantiasa menerima taubat kita (selagi nyawa belum sampai ke halkum dan matahari belum terbit dari Barat) biarpun diri sudah dilumpuri dengan sebegitu banyak dosa. Sedarlah wahai diri dan saudaraku sebelum helaan nafas terhenti.

Mohon perkongsian ya bagi lirik lagu di atas. Terima Kasih. :)

Lirik Lagu: Kasih Padamu - Hafiz Hamidun




Rasulullah dalam sirahMu, 
Ku temu tulusnya cinta,
Demi umatMu berkorban jiwa,
Sehingga hujung nyawa.


Kau di utus atas nama Kebenaran,
Dengan fasih lidah beri penjelasan,
Sabar dalam apa jua keadaan,
Tak goyah dengan ranjau tekanan.


Walau diri bisa menakluki tahta,
Tetap rendah hati penuh sederhana,
Segalanya demi LillahiTaala,
Azimat yang berharga.


Rasulullah dengan hikmahMu,
Terpancar syiar agama,
Mengubah gelap menjadi terang,
Menghapus jahiliyah.


Rasulullah Engkau tinggalkan,
Semangat juang tertinggi,
Membina satu aqidah,
Membangun Iman dan di lapangan Mujahadah,


Sahih hadis dan AlQuran,
Menjadi sumber cahaya pedoman,
Hanya itu yang Kau wariskan,
Akan selamat di dunia akhirat,


Rasulullah terlalu rindu,
padamu Junjungan Jiwa,
Di dalam sunnah yang utama,
Menyambungkan kasih denganMu.


Rasulullah dalam sirahMu,
Ku temu tulusnya cinta,
Demi umatMu berkorban jiwa,
Sehingga hujung nyawa.


Rasulullah dengan hikmahMu,
Terpancar syiar agama,
Mengubah gelap menjadi terang,
Menghapus jahiliyah.


Ya Rasulullah, Ya HabibAllah,
Pabila terkenangMu, mengalir air mataku.


Ya Allah, lagu ini benar-benar membuatkan jiwaku bergetar. 

Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Anbiyaa', ayat 107:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Bagaikan ingin mengalir air mata ini setelah mengenang kembali akan sebuah pengorbanan agung yang pernah dizahirkan oleh junjungan mulia, Rasulullah Sallallahu Alayhi' Wasallam. Ampunkanlah hambaMu ini, ya Allah.

Thursday, August 1, 2013

Pertandingan Menulis Esei Minggu Bahasa Melayu 2013

Cara-cara Untuk Menyemai Rasa Cinta Masyarakat Terhadap Bahasa Melayu.

Dalam era globalisasi ini, masyarakat sibuk menuntut pelbagai bidang ilmu pengetahuan bagi memacu kecemerlangan diri, bangsa dan negara. Sungguhpun begitu, masyarakat seringkali mengabaikan peri pentingnya penguasaan bahasa. Umumnya, terdapat dua bahasa yang sering digunakan oleh rakyat Malaysia, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, bahasa Melayu lebih menjadi keutamaan memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembangaan Malaysia. Itulah keistimewaan yang diperoleh memandangkan bangsa Melayu merupakan penduduk asal di Kepulauan Nusantara ini. Oleh sebab itu, pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan amat mementingkan penguasaan bahasa Melayu. Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini, kerajaan telah memperkenalkan satu slogan yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini, iaitu “Bahasa Jiwa Bangsa”. Slogan itu diharapkan dapat menyemai semangat cintakan bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai perhubungan seharian.

Pertama, warga pendidik perlu berganding bahu dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai pertuturan harian pelajar di sekolah. Hari ini, pelajar sudah tidak mahu lagi menjadikan bahasa Melayu sebagai pertuturan harian terutama sekali bagi bangsa bukan Melayu. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa ibunda memandangkan mereka sendiri sukar untuk bertutur dalam bahasa Melayu kerana faktor kelemahan penggunaan bahasa mereka. Mereka juga didapati gagal untuk bergaul dengan rakan-rakan Melayu kerana tidak mahir sewaktu berinteraksi dengan menggunakan bahasa Melayu. Lebih memburukkan keadaan, pelajar Melayu sendiri sudah lupa atau tidak tahu akan penggunaan kosa kata dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu dicampuradukkan dengan bahasa lain sehingga menjadikan bahasa Melayu itu sendiri semakin rosak. Kesannya, rasa cinta terhadap bahasa Melayu semakin pudar.  Keutamaan guru-guru di sekolah menggunakan bahasa Inggeris sewaktu mengajar telah meninggalkan perspektif negatif dalam diri pelajar, iaitu bahasa Melayu tidak perlu diamalkan kerana bahasa Melayu bukanlah bahasa antarabangsa. Bahasa Inggeris lebih penting memandangkan kebanyakan bahan-bahan ilmiah diterbitkan dalam bahasa Inggeris untuk dijadikan rujukan pelajar sekolah mahupun mahasiswa dan mahasiswi di universiti. Untuk mengatasi masalah ini, guru-guru perlu menjadikan bahasa Melayu sewaktu mengajar di dalam kelas terutama bagi subjek yang mana buku teksnya diterbitkan dalam bahasa Melayu. Jika boleh, subjek seperti Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Melayu bagi meningkatkan penguasaan bahasa oleh pelajar-pelajar.  Andai kata pelajar masih tidak faham, adakan satu perjumpaan di mana pelajar boleh berinteraksi secara terus dengan guru.  Hal sebegini mampu untuk mendidik pelajar berkenaan untuk mencintai bahasa Melayu.

Selain itu, wakil-wakil rakyat di sesebuah kawasan juga perlu menggunakan bahasa Melayu sewaktu memberikan ucapan terutama ketika berkempen bagi parti politik yang diwakilinya. Penguasaan bahasa Melayu yang baik akan memberikan impak positif kepada diri seseorang wakil rakyat. Orang Melayu mislannya, akan berasa kagum mendengar kepetahannya sewaktu berbicara dengan menggunakan bahasa Melayu. Dengan itu, bahasa Melayu akan dipandang mulia dan masyarakat juga tidak segan untuk menuturkannya. Penguasaan bahasa Inggeris pula akan menjadi kredit tambahan kepada wakil rakyat berkenaan kerana perkara ini akan memudahkan wakil rakyat berkenaan untuk mengadakan debat tentang isu-isu tertentu ketika bersidang di Dewan Rakyat. Sesetengah wakil rakyat yang bersidang dalam Dewan Rakyat berkenaan tidak faham akan penggunaan kata yang digunakan. Justeru itu, wakil rakyat berkenaan boleh menterjemahkankan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris untuk memberikan kefahaman yang lebih kepada wakil rakyat yang bersidang. Sungguhpun begitu, bahasa Melayu perlu menjadi keutamaan dalam melakukan sesuatu perkara kerana bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan. Tidakkah seseorang wakil rakyat itu berbangga ketika menuturkan bahasa Melayu yang mendapat pengiktirafan daripada perlembagaan Malaysia? Seseorang wakil rakyat yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa Melayu akan menyukarkan masyarakat Melayu untuk memahami hujah yang mereka kemukakan melainkan bagi sesetengah golongan dalam bangsa Melayu yang mampu menguasai bahasa Inggeris. Majoriti penduduk di negara ini merupakan bangsa Melayu. Oleh itu, gunakanlah bahasa Melayu sewaktu memberikan ucapan. Jika pendeta bahasa Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad (Zaba) mendapat peluang untuk mempengerusikan Kongres Melayu Pertama yang dihadiri oleh puluhan ribu umat Melayu pada masa itu dan dengan rasa bangga menggunakan bahasa Melayu, adakah wakil rakyat patut berasa malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu? Justeru itu, jadikanlah bahasa Melayu itu sebagai bahasa interaksi wakil rakyat kerana untuk menyemai rasa cinta kepada masyarakat, wakil rakyat sendiri perlu untuk bertutur dalam bahasa Melayu bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Seterusnya, badan-badan tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka perlu mengadakan lebih banyak pertandingan yang mampu menyemai rasa cinta masyarakat terhadap bahasa Melayu. Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menganjurkan pertandingan menulis esei. Sebenarnya, pertandingan ini merupakan aktiviti tahunan kementerian berkenaan. Sungguhpun begitu, pertandingan ini masih memberikan kelonggaran kepada mana-mana individu yang menyertainya dari sudut penggunaan bahasa. Bahasa Melayu bukan menjadi keutamaan namun hanya digalakkan untuk menggunakannya. Jika menggunakan bahasa Inggeris sekalipun, mana-mana esei yang mempunyai isi yang mantap maka individu yang menulisnya tetap boleh memperoleh kemenangan. Pada tahun 2012, Pertandingan Menulis Surat 1 Malaysia telah diadakan buat pertama kalinya dan terbuka kepada tiga peringkat . Apa yang menariknya, pertandingan ini mewajibkan penggunaan bahasa Melayu. Beginilah bentuk pertandingan yang sepatutnya diadakan. Untuk menanam rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu, pertandingan sebegini perlu diteruskan dan untuk mendapatkan penyertaan menyeluruh, guru-guru juga perlu berganding bahu untuk mengajak pelajar menyertai pertandingan sebegini. Hadiah bukan menjadi keutamaan. Apa yang lebih penting ialah pengalaman. Kebanyakan pelajar terutama yang bukan berbangsa Melayu kelihatannya sukar untuk menulis karangan dalam bahasa Melayu. Penggunaan kosa kata yang tidak tepat, perbendaharaan kata tidak mantap menjadi punca mereka tidak mahu mendalami keindahan bahasa Melayu. Oleh itu, jadikanlah pertandingan sebegini sebagai platform bagi kita untuk memantapkan lagi penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan harian kita.
Penguatkuasaan undang-undang juga boleh mewujudkan rasa kasih akan bahasa Melayu. Bagaimanakah demikian? Hari ini, jika kita lihat di gedung-gedung mewah, kebanyankan kedai yang menawarkan peluang pekerjaan kepada individu yang berkebolehan akan menyatakan syarat-syarat kelayakan, iaitu berkebolehan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Sememangnya ekonomi negara Malaysia dikuasai oleh bangsa Cina namun, kita perlu melihat akan pendirian perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi. Oleh itu, segala apa jenis urusan juga perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai perantara. Perkara sebegini pernah dibangkitkan oleh pakar-pakar bahasa dalam ruangan akhbar, malahan banyak golongan mahasiswa mahasiswi universiti merungut bahawa mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan jika majikan menekankan syarat berkenaan. Maka oleh sebab itulah ramai ibu bapa Melayu sekarang menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan. Jika ditanya sebab mereka berbuat demikian, mereka akan menyatakan bahawa mereka bimbang akan nasib anak mereka jika tidak menguasai bahasa selain daripada bahasa ibunda. Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa kurikulum sekolah jenis kebangsaan kebanyakannya lebih sistematik dan terurus berbanding sekolah-sekolah kebangsaan. Hal inilah yang membuatkan pakar-pakar bahasa Melayu terutamanya bimbang. Jika pihak kerajaan tidak menguatkuasakan satu peraturan yang mewajibkan setiap pekerja yang diambil perlu mahir berbahasa Melayu maka bahasa Melayu akan semakin pupus ditelan zaman ataupun sekadar menjadi syarat untuk lulus dalam peperiksaan. Oleh itu, pihak kerajaan dengan kerjasama pakar-pakar bahasa Melayu perlu merancang satu pelan menyeluruh dalam jangka masa panjang untuk memastikan bahasa Melayu kekal menjadi asas untuk memperoleh sesuatu pekerjaan.

Kesimpulannya, kecintaan terhadap bahasa Melayu dapat dipupuk sekiranya semua pihak berganding bahu untuk menyemainya. Bahasa Melayu sewajarnya diamalkan oleh seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Jadikanlah bahasa Melayu itu sebagai bahasa perpaduan. Aspirasi slogan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya masyarakat sendiri mengabaikan penguasaan bahasa Melayu. Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan di dalam ucapan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu Melayu Mudah Lupa. Apakah yang beliau maksudkan? Sebenarnya, orang Melayu itu sendiri sudah lupa akan ketamadunan budaya bangsanya. Mengejar arus kemodenan tidak boleh dijadikan alasan bahawa bahasa itu perlu dilupakan. Justeru itu, ambillah iktibar. Jika bangsa Melayu sendiri malu untuk bertutur bahasa Melayu, adakah bangsa lain akan mengiktirafnya sebagai bahasa yang berdaulat? Tepuk dada, tanyalah selera. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semoga bahasa Melayu kekal sebagai bahasa yang berdaulat. Hidup bahasa, hidup bangsa!



                                                                                                                   (1268 patah perkataan)


p/s: Alhamdulillah, aku berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Menulis Esei peringkat sekolah bersempena dengan Minggu Bahasa. Biarpun hadiahnya tidak seberapa, namun aku tetap bersyukur kerana aku menulis atas usaha aku sendiri. Esei aku mungkin tidak sebaik mereka yang berada di sekolah berprestasi tinggi. Aku hanya insan biasa yang menulis sekadar suka-suka. Lagipun, aku menyertai pertangindan tersebut atas pemintaan guru bahasa Melayu aku sendiri. Untuk pengetahuan semua, pertandingan ini diadakan sekitar bulan Julai. Aku mengizinkan pembaca untuk berkongsi, "copy", dan sebagainya. Semoga esei di atas mampu untuk memberikan manfaat kepada semua. Sebarang ketidakpuasan hati tentang penggunaan isi tidak wajar dipersoalkan kerana guru aku sendiri tidak menunjukkan sebarang bantahan.